‘Semoga Tiada Lagi Pelajar Cemerlang Tercicir Pelajaran Akibat Kemiskinan’

KUALA LUMPUR, 1 Okt – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkesempatan bertemu Aiman Afiq, seorang bekas pelajar cemerlang yang terpaksa bekerja di kilang kerana kekangan kewangan keluarga.

Dalam pertemuan tersebut Aiman menceritakan bahawa semua permohonannya untuk mendapatkan bantuan telah ditolak dan kini bekerja kilang dengan pendapatan sekitar RM2,000 lebih sebulan bagi menyara kehidupan dan membayar hutang ketika pengajian.

“Saya terpaksa berhenti sebab semua permohonan untuk dapatkan bantuan ditolak. Jadi saya dah mula kerja di kilang. Dapatlah RM2,000 lebih sebulan untuk tampung kehidupan keluarga dan langsaikan semua hutang kawan-kawan.

“Hutang waktu belajar di asasi dulu. Sebab kadang-kadang sesak tak ada duit nak makan,” katanya ketika bertemu Dr Asyraf.

Kisah kesusahan Aiman disampaikan kepada Dr Asyraf oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal, Cikgu Mohd Norhiesam Sham yang telah membawa Aiman dari Pulau Pinang ke ibu kota bagi pertemuan tersebut.

Walaupun Aiman pernah mencatat keputusan cemerlang 9A dalam SPM dan CGPA 3.7 dalam Asasi Sains beliau tetap mengambil keputusan untuk berhenti pengajian pada semester pertama universiti demi membantu keluarga.

Setiausaha Agung UMNO itu juga memujuk Aiman agar meneruskan pengajian di UniKL dengan pembiayaan penuh MARA, sambil menegaskan bahawa hanya pendidikan dan ilmu mampu mengubah nasib beliau dan keluarganya.

Menerusi hantaran sama beliau juga berharap kisah Aiman menjadi pengajaran bahawa tiada lagi pelajar cemerlang harus tercicir hanya kerana kekurangan kewangan.

“Alhamdulillah turut bersama saya tadi Dekan UniKL-British Malaysia Institute (BMI) Ts. Dr Zulkifli Mahmoodin yang terus membawa surat tawaran pengajian Ijazah Kejuruteraan Elektrik dengan pendaftaran segera pada hari Ahad ini 5 Oktober 2025.

“Aiman akan turut diberikan pembiayaan penuh MARA dengan wang saku bulanan RM800 dan tinggal di asrama secara percuma.

“Moga-moga tiada lagi pelajar-pelajar cemerlang seperti kisah Afiq ini yang tercicir hanya kerana faktor kemiskinan,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO