Johor Diyakini Muncul Sebagai Hab Teknologi Serantau, Destinasi Utama Pelabur Antarabangsa
KUALA LUMPUR, 29 Sept – Johor diyakini akan terus muncul sebagai destinasi pilihan utama pelabur antarabangsa serta hab teknologi serantau hasil rangkaian kerjasama strategik dengan syarikat gergasi dunia dalam sektor semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), teknologi hijau, penyelidikan saintifik dan inovasi digital.
Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, perkara itu dizahirkan sepanjang Lawatan Kerja beliau bersama delegasi Johor ke Amerika Syarikat baru-baru ini yang menyaksikan pertemuan dengan beberapa syarikat global yang telah melabur dan bakal menyalurkan pelaburan bernilai tinggi di negeri berkenaan.

“Pertemuan bersama syarikat-syarikat ini amat penting kerana ia mengukuhkan kedudukan Johor dalam pelbagai sektor berimpak tinggi. Kesemua pelaburan ini bukan sahaja bernilai besar, malah membuka peluang pekerjaan berkualiti, pemindahan teknologi serta kerjasama dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.
Jelasnya, antara syarikat yang ditemui termasuk Super Micro Computer Inc. dari Silicon Valley yang membuka hab operasi Asia di Senai Airport City; Brooks Automation Inc. yang melabur RM100 juta di Pasir Gudang; Pivotal Systems Corporation yang merancang Pusat Penyelidikan & Pembangunan serantau; Keysight Technologies yang meneroka peluang melalui Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ); OpenAI Inc. yang membincangkan kerjasama penerapan AI; serta Bruker Corporation yang berminat mengembangkan operasi ke Johor.

Menurut Onn Hafiz, kerjasama dengan syarikat-syarikat tersebut diyakini bakal melonjakkan Johor ke tahap lebih tinggi sebagai pusat pelaburan, inovasi dan teknologi.
“Insya-Allah, segala usaha ini akan memberi limpahan manfaat ekonomi secara langsung kepada rakyat Johor, seterusnya merealisasikan hasrat Johor menjadi negeri maju menjelang 2030,” ujarnya lagi. – UMNO Online
