Usaha Presiden UMNO Lahirkan Generasi Muda Seimbang – Rosni Zahari

KUALA LUMPUR, 27 Sept – Kejayaan Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam memperkasakan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pendidikan tahfiz menunjukkan visi beliau untuk melahirkan generasi muda yang seimbang.

Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni Zahari berkata, Ahmad Zahid dikenali sebagai seorang pemimpin yang menekankan TVET serta pendidikan tahfiz sebagai agenda penting dalam pembinaan modal insan negara.

“Visi yang dibawa oleh Presiden UMNO dalam memperkasakan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional dan pendidikan tahfiz bagi melahirkan generasi muda yang mempunyai kemahiran teknikal moden serta penguasaan ilmu agama. Kedua-dua bidang ini dianggap pelengkap kepada pembangunan insan dan daya saing negara di masa hadapan.

“Beliau berjaya memperkasakan TVET dengan menyelaras institusi teknikal, meningkatkan kerjasama bersama industri, serta mengangkat status TVET setaraf laluan akademik. Usaha beliau membuka lebih banyak peluang kepada belia dan golongan B40 untuk mendapat kemahiran bernilai tinggi.

“Ahmad Zahid turut memperjuangkan pendidikan tahfiz melalui penubuhan Majlis Tahfiz Negara, pengiktirafan sijil tahfiz, pembangunan kurikulum integrasi antara hafazan, akademik dan kemahiran, serta menjaga kebajikan sekolah dan guru tahfiz,” katanya kepada UMNO Online.

Ujarnya, kejayaan ini membuktikan visi Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah untuk melahirkan generasi yang seimbang, berkemahiran moden, berilmu dan berakhlak mulia.

Mengulas lanjut, Rosni yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran berkata banyak kejayaan dan usaha Ahmad Zahid bagi memastikan bidang tersebut memberi impak yang besar kepada pembangunan negara.

“Penyelarasan TVET Nasional; beliau pernah mempengerusikan Jawatankuasa Kabinet TVET yang menyatukan pelbagai institusi TVET di bawah satu hala tuju, agar tidak berlaku pertindihan kursus dan supaya graduan lebih relevan dengan keperluan industri.

“Kerjasama dengan Industri: usaha beliau menghubungkan TVET dengan sektor swasta serta industri strategik (seperti automotif, minyak dan gas, elektrikal, ICT) berjaya meningkatkan kebolehpasaran graduan.

“Peningkatan Status TVET; Ahmad Zahid turut mengangkat martabat TVET dengan cadangan agar kelayakan TVET diiktiraf setaraf dengan laluan akademik, menjadikannya pilihan utama bukan lagi ‘second choice’. Akses untuk belia dan B40 dijadikan wadah mobiliti sosial supaya anak muda daripada keluarga berpendapatan rendah mendapat peluang kemahiran dan seterusnya menjana kerjaya yang lebih baik,” katanya lagi.

Pada masa yang sama katanya, Ahmad Zahid turut menubuhkan Majlis Tahfiz Negara yang berperanan dalam memperkenalkan dasar menyelaras sekolah tahfiz agar lebih tersusun, berkualiti dan selamat tanpa mengabaikan identiti Islam.

“Beliau (Ahmad Zahid) menyokong usaha supaya sijil tahfiz diiktiraf, agar para huffaz mempunyai peluang melanjutkan pelajaran ke universiti dan berkhidmat dalam pelbagai sektor profesional.

“Menggalakkan sistem tahfiz yang menggabungkan hafazan Al-Quran dengan akademik dan kemahiran, supaya pelajar tahfiz dapat menjadi profesional dalam pelbagai bidang dan juga kebajikan sekolah Tahfiz terutamanya soal keselamatan bangunan dan kebajikan guru serta pelajar tahfiz dengan sokongan dana kerajaan dan agensi berkaitan,” jelasnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO