Pandangan Presiden UMNO Bukti Utamakan Kestabilan Politik – Dr Anil Sandhu
KUALA LUMPUR, 25 Sept – Bendahari Pemuda UMNO Negeri Sabah, Datuk Seri Dr Anil Sandhu menyifatkan pandangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) sebagai langkah positif demi mengelakkan pertindihan kerusi.
Menurutnya, kerjasama tersebut penting untuk memastikan peluang kemenangan lebih tinggi di kawasan yang ditandingi selain mengukuhkan kestabilan politik negara.
“Saya melihat pandangan yang cukup positif apa yang dilontarkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahukan BN kerjasama dengan PH bagi mengelakkan pertindihan kerusi yang berpotensi menang.
“Kita mahukan mana-mana parti yang ‘plus, plus, plus’ tersebut apabila berkempen mohonlah hormat menghormati, jaga bahasa apabila berkempen. Kita tidak mahu ada baur-baur fitnah mahupun perpecahan rakyat Sabah.
“Kami mohon kepada parti plus, plus, plus tersebut agar menghormati realiti politik semasa, bahawa lebih 85 peratus pemimpin yang ada ini sebenarnya berasal daripada BN, dan kekuatan ini seharusnya dijadikan asas untuk memperkukuhkan kerjasama, bukannya dipertikai,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, Dr Anil yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Lahad Datu menegaskan bahawa UMNO dan BN kekal konsisten dengan pendirian tersebut, sekali gus menolak sebarang agenda yang hanya mementingkan kepentingan sempit individu atau kelompok tertentu.
“UMNO dan BN tetap konsisten dengan pendekatan politik matang iaitu memberi keutamaan kepada kestabilan serta kepentingan rakyat Sabah, berbanding kepentingan sempit mana-mana individu atau kelompok.
“Prinsip politik matang yang dipegang UMNO dan BN adalah asas penting dalam memastikan rakyat Sabah terus mendapat pembelaan sewajarnya melalui pentadbiran yang stabil dan berkesan,” katanya lagi.
Dr Anil turut menekankan bahawa BN tidak akan berganjak daripada landasan perjuangan yang menitikberatkan kepentingan rakyat di semua peringkat, terutama dalam aspek pembangunan dan kesejahteraan negeri yang menjadi fokus utama parti.
“Komitmen berterusan UMNO dan BN akan memberi keyakinan kepada rakyat Sabah bahawa parti ini masih relevan serta mampu memimpin semua aspek termasuk kesejahteraan rakyat ke tahap yang lebih baik,” ujarnya. – UMNO Online
