Pemuda UMNO Tegas Pilih Solusi, Tolak Sensasi Himpunan Anjuran Pas – Fikhran Hamsi

KUALA LUMPUR, 25 Sept – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Fikhran Hamshi Mohamad Fatmi menegaskan bahawa pendekatan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam isu Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) atau Urban Renewal Act (URA) berbeza dengan pihak lain kerana lebih mengutamakan penyelesaian berbanding retorik.

Menurutnya, UMNO berusaha mencari jalan keluar untuk meringankan beban rakyat, bukannya memilih jalan buntu atau sekadar menunjukkan bantahan tanpa hala tuju.

“Inilah beza pendekatan UMNO dan Barisan Nasional (BN) lebih memilih solusi, bukannya sensasi. UMNO mencari jalan keluar untuk meringankan beban rakyat yang ditanggung dan bukannya memilih jalan buntu mahupun menunjukkan bantahan terhadap RUU URA.

“Demonstrasi tanpa usaha substantif untuk memahami kandungan undang-undang hanyalah teater politik. Cuma bising di jalanan, gah di media sosial, tetapi kosong dari segi solusi.

“Undang-undang sebesar URA ini tidak boleh diputuskan berasaskan khabar angin atau retorik semata-mata. Ia memerlukan kajian terperinci, perbincangan teknikal dan perlindungan hak semua lapisan rakyat,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, Fikran yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Bharu berkata, pendekatan Pas menolak meja rundingan hanya menimbulkan pelbagai persepsi, seolah-olah tidak mahu membantu rakyat.

“Sikap Pas menolak meja perundingan mengenai akta RUU URA ini dan memilih demonstrasi menimbulkan persoalan, adakah mereka benar-benar membela rakyat atau sekadar mencari pentas politik?

“UMNO dan BN lebih suka memilih jalan matang. UMNO lebih suka mendengar, berbincang, menilai semua pelbagai sudut sebelum membuat keputusan yang memberi impak besar kepada rakyat dan negara,” jelasnya.

Pada masa yang sama, Fikhran menyeru semua pihak tidak mengira latar belakang untuk hadir ke Konvensyen Melayu Bandar yang akan berlangsung pada 3 Oktober ini.

“Saya dengan rendah hati menjemput semua pihak, sama ada yang menyokong atau yang mempunyai pandangan berbeza, untuk hadir bersama dalam Konvensyen Melayu Bandar – URA pada 3 Oktober ini, selepas solat Jumaat di World Trade Center (WTC), Kuala Lumpur.

“Konvensyen ini adalah wadah terbaik untuk kita duduk semeja, berbincang secara terbuka dan merumuskan satu solusi yang mampan demi melindungi kepentingan semua pihak tanpa mengira kaum, aliran politik dan latar belakang,” katanya lagi.

Beliau juga menghargai dan memuji tindakan proaktif Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang melantik Naib Presiden, Datuk Seri Johari Ghani bagi mengetuai jawatankuasa khas untuk meneliti akta ini.

“Beliau (Johari) adalah seorang tokoh atau individu yang tepat untuk jawatankuasa ini. UMNO juga mengambil inisiatif yang matang untuk mengadakan konvensyen URA .

“Konvensyen ini akan menghimpunkan pakar, individu berkepentingan serta wakil masyarakat bagi membincangkan isu ini secara teliti dan menyeluruh,” ujarnya.

Pada 3 September, UMNO telah mengumumkan pelantikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani untuk mengetuai Pasukan Khas UMNO untuk penambahbaikan RUU URA.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa Pasukan Khas tersebut bertanggungjawab untuk meneliti dan memperhalusi setiap aspek RUU PSB sebelum dibentangkan dalam Konvensyen Melayu Bandar. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO