UMNO Kekal Komited Bawa Usul Tambah Baik RUU URA, Demi Melayu Bandar
KUALA LUMPUR, 24 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii memaklumkan bahawa UMNO komited membawa isu-isu berkaitan Rang Undang-undang (RUU) Urban Renewal Act (URA) / Pembaharuan Semula Bandar (PSB) untuk ditambah baik demi kepentingan orang Melayu bandar.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Seputeh berkata ini termasuk pelaksanaan Mesyuarat Induk Pasukan Khas Penambahbaikan RUU URA pada semalam sebelum diadakan Konvensyen Melayu Bandar yang dijadualkan berlangsung Oktober ini.
“Ini adalah sebahagian komitmen bersungguh-sungguh UMNO untuk memastikan setiap aspek berkaitan RUU URA bukan sahaja membawa manfaat, malah benar-benar membela serta mengutamakan kepentingan orang Melayu.
“Kami tak ramai tapi kami tetap bersuara,” katanya.
Mohd Razlan berkata demikian menerusi satu kenyataan berkongsi kehadirannya pada mesyuarat induk tersebut yang diketuai Naib Presiden UMNO merangkap Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang bertindak sebagai Pengerusi Pasukan Khas UMNO bagi RUU URA.
Mengulas lanjut kata beliau Konvensyen Melayu Bandar itu dijangka mengumpulkan kepimpinan UMNO dari semua negeri dan bahagian, termasuk parti politik Melayu, akademik, badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil masyarakat sivil.
Sementara itu Mohd Razlan turut menekankan bahawa usaha membina komuniti bandar yang seimbang dan berdaya saing telah berakar sejak tahun 1972 menerusi Rancangan Malaysia Kedua (RMK-2) yang digerakkan oleh Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak.
“Pemimpin terdahulu menyediakan tempat tinggal untuk kita. Hari ini menjadi tanggungjawab kita untuk menyediakan tempat tinggal bagi generasi akan datang.
“RMK-2 telah membuka jalan penghijrahan penempatan orang Melayu ke bandar sekali gus meletakkan asas kukuh kepada pembinaan komuniti bandar yang seimbang dan berdaya saing,” ujar beliau.
Untuk rekod RUU URA dibentangkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama pada 21 Ogos lalu.
Pada 28 Ogos, RUU itu dibentangkan untuk bacaan kali kedua, namun kemudian ditangguhkan ke sidang seterusnya yang dijadualkan dari 6 Oktober hingga 4 Disember depan. – UMNO Online
