Krisis Air Sabah: Rakyat Tidak Boleh Lagi Jadi Mangsa, Perlunya Pelan Induk Menyeluruh

LAHAD DATU, 24 Sept – Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Bahagian Lahad Datu, Muhamad Gadzali Said menegaskan bahawa penyelesaian masalah air di Sabah mesti segera diangkat sebagai agenda utama, demi mengakhiri derita rakyat yang telah terlalu lama menjadi mangsa kegagalan dasar silam.

Dalam hal ini, beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Lahad Datu menyambut baik pendedahan Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir, mengenai isu pampasan RM315 juta akibat keputusan yang dibuat oleh Datuk Seri Shafie Apdal pada tahun 2019.

Katanya, angka tersebut jelas menunjukkan betapa besar implikasi apabila sesuatu dasar tidak dirangka berdasarkan fakta, strategi, dan analisis kos faedah yang sepatutnya menjadi asas utama kepada setiap keputusan kerajaan.

“Dengan nilai sebesar RM315 juta itu, kerajaan negeri boleh membina loji rawatan air baharu, menggantikan paip-paip usang yang menjadi punca utama NRW (Non-Revenue Water) melebihi 50 peratus, atau menyalurkan subsidi bagi meringankan kos sara hidup rakyat.

“Tetapi malangnya, wang itu hanya hangus sebagai pampasan akibat keputusan politik yang terburu-buru,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Muhamad Gadzali, isu ini bukan sekadar soal infrastruktur tetapi lebih mendasar kerana ia mendedahkan kelemahan tadbir urus dan integriti kepimpinan terdahulu.

“Penamatan kontrak konsesi tanpa pelan mitigasi menyeluruh, tanpa jadual transisi yang jelas, tanpa alternatif pembekalan air, dan tanpa jaminan kewangan hanya menjerat rakyat dengan gangguan perkhidmatan yang berpanjangan.

“Apabila separuh daripada bekalan air negeri hilang melalui NRW, dan rakyat pula masih terpaksa beratur dengan baldi menunggu lori air, ia adalah gambaran nyata kegagalan kepimpinan dalam melaksanakan tanggungjawab asas,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa masa depan bekalan air Sabah tidak boleh lagi dipertaruhkan kepada keputusan politik bersifat populis.

Tegasnya, apa yang diperlukan ialah sebuah Pelan Induk Air Sabah yang menyeluruh iaitu meliputi pembangunan infrastruktur baharu termasuk loji rawatan dan empangan, reformasi tadbir urus berasaskan data serta analisis kos faedah, dan juga pengurusan NRW yang profesional dengan penglibatan kepakaran teknikal tanpa campur tangan politik.

“Cukuplah rakyat terus menjadi mangsa kepada dasar silap masa lalu. Hari ini, penyelesaian masalah air mesti dijadikan agenda paling utama. Keutamaan kita bukan lagi menoleh ke belakang, sebaliknya memastikan rakyat Sabah tidak lagi menanggung beban akibat kegagalan terdahulu.”

Beliau menambah, kesilapan lalu mesti dijadikan pengajaran bahawa populisme tanpa perancangan hanya membawa malapetaka.

Justeru, katanya, tanggungjawab kerajaan hari ini adalah memastikan agenda bekalan air bersih yang berterusan diberi keutamaan mutlak demi masa depan rakyat Sabah. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO