Youzaimi Terus Khidmat Bakti Di Mersing, Kebajikan Rakyat Jadi Keutamaan

KUALA LUMPUR, 23 Sept – Ketua UMNO Bahagian Mersing, Mohd Youzaimi Yusof terus prihatin terhadap masyarakat setempat dengan melakukan ziarah kasih.

Terbaharu beliau bersama kepimpinan UMNO Cawangan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pengkalan Batu mengunjungi Kamelia Abdullah, 28, yang mengalami masalah penglihatan, pendengaran dan pertuturan sejak berusia enam tahun.

Menurut Youzaimi, kunjungan itu bukan sekadar untuk menyampaikan sumbangan, tetapi juga sebagai tanda sokongan moral kepada keluarga berkenaan.

“Bersama kepimpinan UMNO Cawangan dan JKK Kampung Pengkalan Batu, menyantuni Adik Kamelia Abdullah, yang berumur 28 tahun, yang mempunya masalah penglihatan dan juga pendengaran serta tidak dapat bercakap.

“Dijaga sepenuhnya oleh ibunya, Mak Cik Kamisah yang sewa rumah di Kampung Pengkalan Batu.

“Apa yang dimaklumkan oleh ibunya Adik Kamelia ini tidak dapat melihat dan pendengaran ini sejak berumur daripada enam tahun lagi. Kami semua mendoakan, agar Adik Kamelia dan ibunya dipermudahkan Allah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau seterusnya menziarahi Harris Ahmad Darki yang kini terlantar akibat serangan strok sebelum ini.

Menurut Youzaimi, Harris disahkan mengalami strok sebelah badan akibat bacaan tekanan darah yang terlalu tinggi, sekali gus menyebabkan beliau kini hanya berehat di rumah dan tidak lagi mampu melakukan sebarang pekerjaan.

“Baru dapat maklum yang Harris sudah lama tidak sihat kerana strok sebelah badan. Difahamkan beliau kena strok akibat bacaan darah yang terlampau tinggi. Sekarang ini beliau hanya di rumah dan tidak dapat berbuat kerja apa-apa.

“Kami semua mendoakan agar Haris diberikan kesembuhan yang cepat dan dipermudahkan Allah,” ujar beliau.

Youzaimi kemudiannya yang dijadual menziarahi Norafini Yahya dimaklumkan bahawa wanita itu kini sedang dirawat di Hospital Sultan Ismail selepas menjalani pembedahan memotong kaki akibat komplikasi diabetes.

Di samping menyampaikan bantuan beliau berkesempatan berhubung melalui panggilan video bagi bertanya khabar dan menyampaikan doa serta semangat.

“Kami mendoakan agar Puan Norafini terus tabah menghadapi ujian ini dan semoga segala urusan beliau dipermudahkan oleh Allah SWT,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO