Veteran UMNO Balas Sindiran Pas, Ingatkan Jangan Angkuh dan Celupar
KUALA LUMPUR, 23 Sept – Veteran UMNO Malaysia membidas kenyataan Ahli Parlimen Pas, Idris Ahmad yang mendakwa UMNO kini hanyalah sebuah ‘parti penumpang’ dan bukan lagi penyumbang kerusi dalam kerajaan.
Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, pihaknya tidak hairan dengan kenyataan itu kerana ia sudah menjadi kebiasaan Pas memperlekehkan UMNO.
“Pas sebenarnya masih menyimpan rasa kesal kerana menolak nasihat Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan. Kekesalan itu membuatkan Pas berdendam dengan UMNO sehingga sekarang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, hakikatnya Pas dan Perikatan Nasional (PN) lebih layak bersama PH membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15, namun keangkuhan mereka akhirnya memberi ruang kepada UMNO/BN yang hanya mempunyai 30 kerusi untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan.
“Yang menghairankan, dalam keadaan Pas menganggap UMNO lemah, mereka masih berjumpa UMNO untuk berbincang cadangan menyertai kerajaan dan sanggup membelakangkan PPBM. Rupa-rupanya Pas juga ingin ‘menumpang semangkok’ kerana kepinginkan jawatan menteri,” ujarnya.
Sehubungan itu, Mustapha menasihati Idris agar tidak terlalu angkuh dan celupar, sebaliknya menjaga negeri-negeri yang dimenangi Pas supaya tidak terlepas kepada UMNO/BN pada pilihan raya akan datang.
“Rakyat bukan saja menilai UMNO/BN, tetapi mereka juga menilai prestasi buruk Pas selama ini. Adalah lebih baik Pas menumpukan usaha mengutip derma dengan menggunakan tong drum untuk mencapai sasaran 60 kerusi dalam PRU16 nanti kerana PPBM tidak akan membantu lagi,” tegasnya. – UMNO Online
