Tengku Zuhri Santuni Mangsa Ribut, Sampaikan Bantuan Keperluan Asas
KUALA LUMPUR, 23 Sept – Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Tengku Datuk Zuhri Aziz berbesar hati meluangkan masa menyantuni mangsa bencana ribut yang melanda kawasan itu semalam.
Beliau pada kunjungan ke Pusat Komuniti Lembah Pantai itu menyampaikan keperluan asas kepada mangsa bagi meringankan beban mereka yang berhadapan bencana tersebut.
“Alhamdulillah dari Mesyuarat KPTM di Ipoh saya terus ke Pusat Komuniti Lembah Pantai untuk menyantuni mangsa bencana ribut di Lembah Pantai semalam.
“Sedih mendengar nasib mereka yang terpaksa berpindah ke pusat komuniti kerana rumah mereka kehilangan bumbung,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Tengku Zuhri dalam pada itu merakamkan penghargaan kepada pasukan UMNO Bahagian Lembah Pantai yang bertindak pantas sejurus selepas bencana tersebut berlaku.
Terdahulu, ribut yang melanda ibu negara petang semalam menyebabkan bumbung sebuah blok Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Cempaka, Lembah Pantai rosak teruk hingga menjejaskan beberapa unit rumah serta 30 kenderaan.
Kejadian itu disifatkan sebagai paling buruk dalam tempoh 15 tahun ini. – UMNO Online
