Shafie Arkitek Krisis Air Sabah: Pampasan RM315 Juta, Baldi Jadi Teman Rakyat

PUTRAJAYA, 23 Sept – Ketua Penerangan UMNO Sabah merangkap Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir menyifatkan Datuk Seri Shafie Apdal sebagai “arkitek krisis air Sabah” susulan keputusan tergesa-gesa beliau menamatkan kontrak enam syarikat konsesi air pada tahun 2019.

Menurut Suhaimi, langkah Shafie itu bukan sahaja menjejaskan operasi 58 loji rawatan air di seluruh Sabah, malah memaksa kerajaan negeri menanggung beban pampasan mencecah RM315 juta kepada syarikat-syarikat terlibat.

“Rakyat Sabah kini bangun tidur bukan lagi bertanya ‘bila jalan siap’, tetapi ‘bila air ada’. Di Sandakan, Tawau, Lahad Datu malah Kota Kinabalu, orang ramai setiap hari beratur dengan tong dan baldi seolah-olah air bersih kini menjadi barang mewah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut mempersoalkan sama ada kerajaan negeri di bawah Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, telah menyelesaikan pembayaran pampasan tersebut atau masih terbeban dengan hutang akibat kesilapan Shafie.

“Jika benar penamatan konsesi itu kononnya menjimatkan, mengapa sehingga hari ini rakyat masih terpaksa menadah air hujan, menyimpan air dalam tong biru malah membeli air dari lori setiap minggu? Adakah itu definisi penjimatan versi Shafie?” soal Suhaimi.

Katanya lagi, keadaan bertambah parah apabila kadar Non-Revenue Water (NRW) kekal melebihi 50 peratus, menyebabkan separuh daripada bekalan air bersih hilang tanpa manfaat kepada rakyat.

“Shafie boleh berdalih dengan retorik politik, tetapi fakta tidak boleh dipadam. Beliau membatalkan projek air kritikal, meninggalkan beban pampasan ratusan juta ringgit, dan hari ini rakyat Sabah hidup dengan krisis air paling teruk dalam sejarah negeri,” tegas beliau.

Suhaimi menegaskan, sejarah akan mencatat nama Shafie Apdal bukan sebagai penyelamat, tetapi sebagai punca utama krisis air di Sabah. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO