Model Pembangunan Desa Malaysia Jadi Rujukan Timor-Leste – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 23 Sept – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan penganjuran kursus oleh Institut Kemajuan Desa (INFRA) yang disertai pemimpin Timor-Leste sebagai simbol pengiktirafan terhadap pengalaman Malaysia dalam pembangunan luar bandar.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, program tersebut yang berlangsung dari 23 hingga 28 September 2025 itu adalah hasil lawatan rasmi beliau ke Timor-Leste pada Ogos tahun lalu.
“Alhamdulillah, rentetan daripada hasil lawatan saya ke Timor-Leste hari ini kita menyaksikan bermulanya Course on Empowering Community Leaders Towards Sustainable Rural Development, sebuah latihan antarabangsa anjuran INFRA untuk pemimpin komuniti dan pegawai kerajaan Timor-Leste.
“Program ini menerima penyertaan seramai 10 peserta dari Timor-Leste.
“Mereka akan mengikuti ceramah berkaitan dasar dan struktur pentadbiran negara, sesi pembangunan komuniti, belia dan wanita, selain lawatan ke institusi TVET, homestay luar bandar serta mengikuti aktiviti kebudayaan dan kraftangan desa,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Ahmad Zahid berkata, kerjasama ini secara tidak langsung memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Timor-Leste dan membuktikan bahawa model pembangunan desa negara ini menjadi rujukan serantau.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada INFRA atas kejayaan merealisasikan program berkenaan dengan penuh komitmen.
“Inisiatif ini membuktikan bahawa pengalaman Malaysia dalam pembangunan luar bandar terus menjadi rujukan serantau dan kerjasama ini memperkukuhkan lagi hubungan erat Malaysia-Timor-Leste.
“Inilah simbol kerjasama dua negara serantau yang menunjukkan model pembangunan desa Malaysia diiktiraf dan dijadikan rujukan oleh negara jiran.
“Saya mendoakan semoga perkongsian ilmu ini memberi manfaat besar kepada para peserta, sekali gus membuka ruang kerjasama baharu demi kemajuan desa yang lebih lestari. Insya-Allah, ini hanyalah permulaan kepada lebih banyak inisiatif serantau demi kesejahteraan bersama,” ujar beliau. – UMNO Online
