Mohd Puad Cabar PPBM Dedah Jumlah Sebenar Sumbangan Kepada Pas

KUALA LUMPUR, 19 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi mencabar PPBM untuk mendedahkan jumlah sebenar sumbangan parti itu kepada Pas bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lalu.

Ujarnya, Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor seakan-akan tidak boleh menerima hakikat bahawa PPBM pernah memberi sumbangan berjuta ringgit kepada parti itu untuk menempuhi pilihan raya.

“Marah sungguh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi terhadap saya. Saya kata ‘mustahil kutipan dana tin milo Pas mencukupi untuk tampung kos pilihan raya yang dia sendiri dakwa satu parlimen RM1 juta’.

“Sanusi tidak boleh terima bahawa PPBM sponsor duit pilihan raya Pas berjuta ringgit. Sanusi kata ‘Puad nak dipilih jadi calon dalam Barisan Nasional (BN) pun kena berabih duit’.

“Nak beritahu Sanusi, macam mana saya berhabis duit untuk jadi calon, walhal dua kali saya tidak dicalonkan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar pendedahan PPBM mengenai jumlah sebenar dana pilihan raya yang diberikan kepada Pas dapat ‘mematahkan’ cerita tin milo.

“Sanusi tidak perlu pusing isu. Dia ingat apa yang dia buat, orang lain akan buat. Contohnya kalau dia ada dua isteri, tidak semestinya semua orang beristeri dua.

“Justeru saya cabar PPBM supaya dedahkan jumlah sebenar yang mereka bagi pada Pas. Buktikan cerita ‘tin milo’ Sanusi bohong,” katanya.

Pada Rabu media melaporkan Dr Marzuki mendedahkan bahawa keseluruhan kos pilihan raya Perikatan Nasional (PN) pada PRU ke-15 telah ditanggung sepenuhnya oleh PPBM.

Beliau menjelaskan, anggaran kos minimum untuk satu kawasan parlimen boleh mencecah RM1 juta, dan jumlah sebenar berpotensi lebih besar bergantung kepada keadaan setempat.

Menurutnya, Pas tidak menghadapi masalah besar berhubung perbelanjaan PRU ke-15 apabila mereka bertanding menggunakan logo PN dan semua peralatan pilihan raya yang menggunakan logo PN disediakan oleh PN.

Terdahulu, Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyindir halus parti rakan dalam Perikatan Nasional (PN) untuk menghadapi PRU ke-16 ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Muktamar Tahunan Pas Ke-71 pada Selasa.

Ujarnya, parti rakan dalam PN bergantung kepada peralatan yang terpaksa dibayar oleh Pas untuk bertanding dengan parti itu mengenakan bayaran RM1,200 bagi setiap unit peti undi (UPU).

Pada Rabu media melaporkan Sanusi menegaskan beliau tidak pasti pihak mana yang menerima dana didakwa disalurkan PPBM kepada Pas pada PRU ke-15.

Sehubungan itu beliau mahu kenyataan Dr Marzuki diperjelaskan dengan lebih teliti. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO