Kerajaan Johor Jalin Kerjasama Dengan University Of Oxford Bagi Perkukuh Latihan Kepimpinan

JOHOR BAHRU, 19 Sept – Kerajaan Negeri Johor akan menjalin kerjasama dengan University of Oxford melalui Blavatnik School of Government bagi memperkukuh latihan kepimpinan, dasar dan tadbir urus.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, usaha itu adalah selaras dengan titah DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, yang menekankan kepentingan pegawai-pegawai kerajaan negeri mendapat latihan dan pengalaman mencukupi demi pembangunan Johor.

Menurut Onn Hafiz, pertemuan dengan pihak Oxford membuka ruang penting untuk Johor mendapatkan pandangan tokoh akademik ternama dalam aspek dasar, kepimpinan berwawasan dan tadbir urus inklusif.

“Oxford turut berkongsi pengalaman mereka dalam merangka program latihan eksekutif yang mampu memperkukuh keupayaan pembuat dasar, penjawat awam, dan kepimpinan GLC di Johor.”

Onn Hafiz juga berharap agar lawatan tersebut menjadi titik tolak dalam mengukuhkan lagi hubungan Johor dengan rakan strategik global.

“Semoga lawatan ini menjadi titik tolak dalam mengukuhkan lagi hubungan Johor dengan rakan strategik global, melahirkan bakat berwawasan serta pemimpin berintegriti yang mampu membawa Johor dan Bangsa Johor ke tahap lebih gemilang, Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO