Jangan Politikkan Pendidikan Tinggi, Dasar Pengantarabangsaan Tak Jejas Peluang Anak Tempatan
KUALA LUMPUR, 19 Sept – Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin membidas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah yang memainkan isu pendidikan tinggi semata-mata demi mencari laba politik.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok berkata bahawa dasar pengantarabangsaan yang dibangkitkan Dr Haim tidak menafikan peluang anak-anak tempatan, sebaliknya memperkukuh nama Malaysia di persada global.
“Kenyataan beliau yang dibuat di pentas politik baru-baru ini jelas sekali mengelirukan rakyat serta memberi gambaran tidak tepat terhadap usaha dan dasar KPT. Tiada sebarang diskriminasi kepada pelajar Malaysia sebagaimana cuba digambarkan oleh ADUN berkenaan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Katanya ini kerana di peringkat pascasiswazah pengambilan pelajar antarabangsa adalah sebahagian daripada dasar terbuka yang selaras dengan usaha melonjakkan ranking universiti tempatan di peringkat dunia.
Malah katanya, kehadiran mereka telah menyumbang kepada pencapaian Universiti Malaya di tangga 58 terbaik dunia dan empat lagi universiti penyelidikan dalam kelompok 126–153 terbaik dunia.
“Perlu ditegaskan, semua pelajar antarabangsa ini membayar yuran penuh tanpa subsidi kerajaan,” ujar beliau.
Shaiful turut mengingatkan bahawa Dr Haim ketika menjadi Naib Canselor sebuah universiti awam, menyokong dasar pengantarabangsaan tersebut sebagai usaha untuk melonjakkan ranking universiti.
Namun katanya Dr Haim kini mengubah pendirian dan mempolitikkan isu ini demi kepentingan peribadi.
“Beliau pernah menegaskan dasar tersebut membantu meningkatkan kemasukan pelajar antarabangsa dan melonjakkan ranking universiti.
“Malah, ketika itu beliau dilihat bangga mempertahankan dasar ini sebagai satu langkah tepat untuk mengangkat nama universiti tempatan di peringkat dunia.
“Kini, pendirian itu berubah 180 darjah apabila beliau memilih untuk mempolitikkan perkara yang sama demi kepentingan peribadi,” ujar beliau.
Terdahulu, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Azlinda Azman turut sama membidas dakwaan Dr Haim kononnya KPT mengabaikan kepentingan pelajar tempatan susulan peningkatan kemasukan pelajar antarabangsa di universiti awam.
Menurut beliau, tuduhan tersebut tidak wajar memandangkan ADUN berkenaan pernah memegang jawatan Naib Canselor sebuah universiti awam dan ketika itu turut menggalakkan pengambilan pelajar antarabangsa selaras dengan dasar pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara. – UMNO Online
