Keprihatinan Ahmad Zahid Suntik Semangat Kepada Mangsa Banjir Sabah

PAPAR, 19 Sept – Kehadiran pimpinan tertinggi negara sebagaimana Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid ke kawasan yang terjejas akibat bencana memberi makna besar kepada mangsa.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Ketua Wanita UMNO Bahagian Papar, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata perhatian yang diberikan membuktikan bahawa nasib rakyat sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.

Ujarnya, kehadiran tersebut bukan sahaja sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Persekutuan, malah turut menyuntik semangat dan keyakinan baharu kepada mereka yang sedang berdepan ujian.

“Sesungguhnya, kehadiran ini amat bermakna kerana bukan sahaja menzahirkan keprihatinan terhadap nasib mangsa bencana, malah turut memberi dorongan moral agar mereka terus tabah menghadapi keadaan ini,” katanya.

Beliau menambah, sokongan berterusan daripada kerajaan amat penting dalam mempercepatkan pelaksanaan pelbagai bentuk bantuan serta usaha pemulihan demi kesejahteraan rakyat.

Rosnah turut menyeru agar semua pihak terus bersama-sama mendoakan agar mangsa diberi kekuatan dan segala urusan bantuan serta pemulihan dipermudahkan.

“Marilah kita bersama-sama mendoakan agar semua mangsa tabah menghadapi ujian ini, diberi kekuatan, serta dipermudahkan segala urusan bantuan dan pemulihan.” – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO