Video Hina YDPA, Pemuda Damansara Buat Laporan Polis

KUALA LUMPUR, 16 Sept – Pemuda UMNO Damansara tampil membuat laporan polis terhadap sebuah video di aplikasi TikTok.

Hantaran video tersebut yang didakwa menghina Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta institusi Raja-Raja Melayu yang tular baru-baru ini.

Naib Ketua Pemuda Damansara, Ikmal Fiqri berkata tindakan individu berkenaan adalah perbuatan biadab dan tidak bertanggungjawab kerana cuba memperlekeh institusi tertinggi negara.

“Kami memandang serius perkara ini. Tindakan sedemikian jelas mencabar kedaulatan institusi beraja dan boleh mengganggu keharmonian masyarakat.

“Oleh itu, Pemuda UMNO Damansara mendesak pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas di bawah undang-undang sedia ada,” katanya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Damansara, semalam.

Beliau turut mengingatkan golongan muda agar menggunakan media sosial dengan penuh tanggungjawab serta tidak menjadikan kebebasan bersuara sebagai alasan untuk menghina institusi negara.

“Pemuda UMNO Damansara akan terus komited mempertahankan agama, bangsa dan tanah air, termasuk institusi Raja-Raja Melayu yang menjadi tonggak kedaulatan negara,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO