Bung Moktar Kesal Gangguan Bekalan Elektrik Dan Air, Jejas Kehidupan Rakyat
KINABATANGAN, 15 Sept – Ketua UMNO Sabah merangkap Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin meluahkan rasa kesal terhadap gangguan bekalan elektrik dan air yang melanda kawasan Kinabatangan sejak 13 September, kira-kira jam 4 petang.
Menurut beliau, gangguan berkenaan masih belum dipulihkan sehingga kini, sekali gus menjejaskan kehidupan harian penduduk setempat.

“Masalah asas seperti ini tidak seharusnya dibiarkan berlarutan kerana ia memberi kesan besar kepada kehidupan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal ini.
Sehubungan itu, beliau mendesak pihak bertanggungjawab, terutamanya Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), untuk segera mencari jalan penyelesaian termasuk menyediakan penjana elektrik mudah alih (mobile gen set) bagi mengurangkan beban penduduk yang terkesan.
Dalam pada itu, Bung Moktar turut menzahirkan penghargaan terhadap semangat masyarakat yang tetap hadir beramai-ramai ke program Sentuhan Kasih Desa Madani anjuran KEMAS dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang berlangsung di DUN Lamag, meskipun berdepan gangguan bekalan asas.
“Kehadiran mereka membuktikan ketabahan rakyat Kinabatangan serta keyakinan terhadap usaha kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh kesejahteraan desa,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kebajikan rakyat harus menjadi keutamaan dan menyeru agar segala usaha digembleng bagi menyelesaikan isu bekalan elektrik dan air di Kinabatangan secara tuntas serta mengelakkan kejadian sama berulang. – UMNO Online
