Banjir Sabah: Kerajaan Utamakan Keselamatan Dan Bantuan Segera – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 15 Sept – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan rasa simpati dan keprihatinannya terhadap mangsa banjir yang sedang melanda negeri Sabah ketika ini.
Menurut beliau, fokus utama kerajaan adalah memastikan keselamatan nyawa penduduk, menjaga kebajikan keluarga yang terjejas serta mempercepatkan proses pemulihan kemudahan asas di kawasan banjir.

“Saya amat bersimpati dan terkesan dengan keadaan banjir yang sedang melanda negeri Sabah ketika ini. Saya turut menyokong penuh arahan YAB Perdana Menteri dan usaha Kerajaan MADANI, termasuk peruntukan segera RM10 juta melalui NADMA serta tambahan RM11 juta yang disalurkan Kerajaan Negeri Sabah bagi pembaikan infrastruktur asas dan keperluan mendesak di kawasan terjejas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam masa sama, Ahmad Zahid turut mengingatkan rakyat di kawasan terjejas, khususnya di Sabah, Sarawak, Terengganu, Pahang, Johor dan Labuan yang kini berada di bawah amaran ribut petir oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), agar sentiasa berwaspada dengan perkembangan cuaca semasa.
Beliau menegaskan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang berpotensi berlaku dalam tempoh singkat tetapi memberi impak besar kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
“Utamakan keselamatan, elakkan kawasan berisiko dan patuhi arahan pihak berkuasa,” tambah beliau lagi. – UMNO Online
