PRN Sabah: Politik Bukan Soal Kuasa, Tetapi Amanah Untuk Rakyat – Maizatul Akmam

LAHAD DATU, 10 Sept — Naib Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu merangkap Bendahari Wanita UMNO Malaysia, Datuk Maizatul Akmam Alawi menegaskan perjuangannya dalam politik bukan berteraskan kuasa semata-mata, sebaliknya demi maruah, keadilan dan masa depan generasi akan datang di Sabah.

“Bagi saya, perjuangan ini adalah janji kepada rakyat Sabah iaitu janji yang berpijak pada realiti, berlandaskan pengalaman, dan digerakkan dengan keikhlasan demi masa depan negeri tercinta,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, politik harus dilihat sebagai sebuah amanah yang menuntut integriti dan kejujuran, bukannya medan perebutan kuasa.

Beliau turut menekankan bahawa hak dan maruah Sabah yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu terus dipertahankan agar negeri ini dihormati sebagai rakan setara dalam Persekutuan Malaysia.

“Sabah bukan negeri pinggiran. Anak-anak Sabah mesti menjadi pelaku utama dalam pembangunan ekonomi, bukan sekadar pemerhati. Kekayaan negeri ini perlu dinikmati secara adil oleh semua, daripada petani, nelayan hinggalah generasi muda,” ujarnya.

Beliau juga menekankan bahawa Sabah perlu bergerak dengan visi yang lebih jelas untuk meningkatkan hasil negeri, memperkukuh ekonomi dan memberi manfaat secara adil kepada seluruh rakyat.

“Sabah kaya dengan kepelbagaian etnik dan budaya. Warisan ini mesti dipelihara, sementara hak anak negeri terus dipertahankan sebagai tonggak kekuatan dan jati diri rakyat Sabah,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO