Zahirkan Kecintaan Kepada Tanah Air, Hayati Makna Kemerdekaan

KUALA LUMPUR, 1 Sept – Bersempena Hari Kebangsaan ke-68, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Segambut, Nur Atiqah Najihah Hairudi mengajak seluruh rakyat Malaysia menghayati makna kemerdekaan dengan lebih mendalam.

Beliau berkata ini kerana perayaan bukan sekadar sambutan biasa sebaliknya harus menzahir rasa cinta kepada negara melalui tindakan konsisten.

“Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia agar menzahirkan kecintaan kepada tanah air bukan hanya dengan meraikannya.

“Tetapi menzahirkan melalui tindakan yang berterusan dalam mengekalkan perpaduan, menghormati Perlembagaan, mengamalkan nilai murni serta memelihara warisan bangsa,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Nur Atiqah dalam pada itu turut sama menzahirkan kesyukuran kerana rakyat bukan hanya menikmati nilai kemerdekaan, bahkan keharmonian hidup dalam pelbagai kaum dan agama

“Marilah kita terus bersatu, melindungi kemerdekaan ini daripada ancaman perpecahan, kebencian dan ketidakadilan.

“Negara ini milik kita semua! Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke 68!” katanya lagi.

Untuk Tahun ini “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 (HKHM2025), manakala logo Malaysia MADANI kekal sebagai logo rasmi sambutan tahun ini.

Bagi sambutan Hari Kebangsaan ia akan diadakan pada 31 Ogos di Dataran Putrajaya manakala sambutan Hari Malaysia berlangsung pada 16 Sept di Pulau Pinang selaras dengan amalan penggiliran lokasi sambutan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO