Syukuri Kemerdekaan, Perjalanan 68 Tahun Penuh Dengan Rintangan
KUALA LUMPUR, 1 Sept– Setiap daripada rakyat Malaysia bertanggungjawab memastikan kemerdekaan yang dirai bukan hanya laungan namun sebagai pemangkin kepada lonjakan yang lebih besar, kata Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Tengku Datuk Zuhri Aziz bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 pada 31 Ogos ini.
Katanya ini kerana ia bagi memastikan pengisian kemerdekaan lebih bermakna dan memenuhi harapan dan aspirasi pejuang terdahulu.
“Alhamduliilah negara kita Malaysia akan menyambut kemerdekaan yang ke-68 pada 31 Ogos ini. Kemerdekaan yang kita kecapi hari ini adalah hasil keringat dan titik peluh pejuang kemerdekaan sebelum ini yang telah mengorbankan jiwa, raga, masa, wang dan harta untuk memastikan anak bangsa mereka akan hidup sebagai rakyat yang Merdeka.
“Perjalanan kita sepanjang 68 tahun ini penuh dengan pelbagai rintangan, onak dan duri namun yang demikian alhamdulillah kita sebagai rakyat Malaysia berjaya melalui badai ini dan masih berdiri sebagai bangsa merdeka,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.
Beliau juga meluahkan kepercayaan bahawa generasi muda hari ini semakin memahami tanggungjawab mereka dalam menzahirkan semangat patriotisme.
Menurut beliau langkah tersebut sebagai usaha ke arah mengisi erti sebenar kemerdekaan melalui tindakan, sumbangan dan komitmen membangunkan negara.
“Mungkin selepas 68 tahun anak muda hari ini tidak lagi dapat merasai dengan sendiri bahang laungan kemerdekaan yang menyambut rombongan kita dari kota London.
“Tetapi saya yakin anak muda hari ini sedar akan peranan mereka untuk menunjukkan kecintaan kepada negara dengan menggandakan usaha untuk melaksanakan perkara yang lebih sukar iaitu memenuhi erti dan makna kemerdekaan.
“Kini sebagai negara yang semakin maju, cabaran pengisian kemerdekaan ini menjadi semakin berat. Setiap generasi yang merdeka akan diuji dengan cabaran yang lebih rumit dari sebelumnya. Ia menuntut perjuangan dari setiap lapisan masyarakat tanpa mengira agama mahupun bangsa,” ujar beliau. – UMNO Online
