Kemerdekaan Bukan Percuma, Hargai Perjuangan Generasi Terdahulu

KUALA LUMPUR, 1 Sept – Ketua UMNO Bahagian Seremban, Datuk Mazalan Maarop menyifatkan rakyat Malaysia mempunyai peranan besar dalam mempertahankan kedaulatan tanah air.

Beliau berkata ini kerana, nikmat kemerdekaan yang dicapai merupakan perjuangan daripada generasi terdahulu yang mahu memastikan generasi mendatang bebas daripada cengkaman kuasa asing.

“Kemerdekaan bukan sesuatu yang datang dengan percuma, melainkan melalui pengorbanan besar dan perjuangan tanpa henti oleh para tokoh terdahulu.

“Kini, ia adalah tanggungjawab bersama seluruh warganegara bagi mempertahankan kedaulatan bumi bertuah yang kita sayangi, Malaysia. Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-68,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Mazalan dalam pada itu menyeru rakyat untuk memupuk semangat patriotisme sejati dengan berpegang teguh kepada Perlembagaan dan prinsip Rukun Negara yang menjadi nadi kepada keharmonian negara ini.

Mengulas lanjut, beliau turut sama menyeru ahli parti untuk menjadi barisan hadapan dalam mempertahankan kedaulatan negara.

“Cinta pada negara melibatkan kesediaan untuk mempertahankan kedaulatan dan keutuhan negara dari ancaman luar mahupun dari dalam negara.

“Apabila kedaulatan negara di ganggu gugat, ahli UMNO diseru menjadi barisan utama yang akan melindunginya,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO