Sambutan Jubli Perak UniKL RCMP, MARA Terus Komited Perkasa TVET Kesihatan – Dr Asyraf
IPOH, 28 Ogos – Majlis Amanah Rakyat (MARA) terus komited memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam sektor kesihatan bagi melahirkan modal insan berkualiti tinggi, berkemahiran serta berdaya saing di peringkat global.
Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, usaha itu selari dengan aspirasi negara untuk membentuk generasi profesional yang mampu memacu pembangunan negara dalam pelbagai bidang strategik, khususnya dalam ekosistem kesihatan.

“MARA sebagai agensi induk sentiasa memberi penekanan kepada pembangunan modal insan yang bukan sahaja berpengetahuan dan berkemahiran, tetapi juga mempunyai integriti serta akhlak mulia. Inilah tonggak yang akan menjadikan mereka bukan sahaja aset kepada negara, malah juga berbakti kepada agama dan bangsa,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Sambutan Jubli Perak Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP) yang disempurnakan keberangkatan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, hari ini.
Mengulas pencapaian UniKL RCMP, Dr. Asyraf yang juga Setiausaha Agung UMNO menegaskan bahawa institusi itu telah membuktikan keupayaannya melahirkan ribuan graduan dalam bidang Perubatan, Farmasi, Kejururawatan, Radiologi dan Fisioterapi sepanjang 25 tahun penubuhannya.
“Keberhasilan ini bukan sahaja memberi manfaat besar kepada sistem kesihatan negara, malah turut meningkatkan reputasi Malaysia sebagai pusat pendidikan kesihatan bertaraf antarabangsa,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada UniKL RCMP atas kejayaan cemerlang sepanjang suku abad, sekali gus meletakkannya sebagai salah sebuah institusi pendidikan kesihatan terkemuka di rantau ini.
“Semoga momentum ini akan terus diperkukuhkan bagi melahirkan lebih ramai graduan berkualiti tinggi yang menjadi pemacu pembangunan negara,” katanya lagi. – UMNO Online
