Jaga Kebajikan Orang Asli: Kerajaan Negeri Johor Salur RM3.87 juta Peruntukan
KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Kerajaan Negeri Johor membuktikan komitmen untuk menjaga kebajikan masyarakat Orang Asli dengan menyalurkan peruntukan berjumlah RM 3.87 juta yang merangkumi sembilan inisiatif.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan beliau telah hadir ke Majlis Perasmian Festival Hari Orang Asli Negeri Johor 2025 di Kluang yang berlangsung pada Khamis.

“Syukur Alhamdulillah, saya gembira dapat hadir ke Majlis Perasmian Festival Hari Orang Asli Negeri Johor 2025 di Kluang. Festival ini bukan sahaja sebuah acara kebudayaan, tetapi bukti pengiktirafan terhadap warisan, identiti, dan kekuatan komuniti Orang Asli yang menjadi sebahagian daripada keluarga besar Bangsa Johor.
“Di Johor, terdapat seramai 18,283 masyarakat Orang Asli di 60 buah kampung, terdiri daripada lima etnik utama iaitu Jakun, Seletar, Orang Kuala, Temuan dan Kanaq.
“Keunikan budaya, bahasa dan seni mereka adalah khazanah berharga yang wajib dipelihara serta diperkenalkan kepada masyarakat umum,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap memaklumkan bahawa peruntukan tersebut adalah termasuk RM1 juta Bantuan Tunai One-Off sebanyak RM200 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) Orang Asli di Negeri Johor.
“Selain itu, RM529.3 ribu bagi Bakul Makanan bernilai RM100 kepada KIR Orang Asli Negeri Johor; RM182.5 ribu bagi Bantuan Laptop kepada 73 Pelajar Universiti Orang Asli; RM600 ribu bagi geran khas untuk kos pengurusan dan program Kampung Orang Asli.
“Seterusnya, RM735 ribu bagi naik taraf dan baik pulih 17 dewan serta 32 balai raya dengan setiap lokasi menerima RM15 ribu; RM370 bagi sumbangan kepada masjid dan surau; RM440 ribu bagi naik taraf kemudahan dan peralatan sukan.
“Akhir sekali ialah Penubuhan Jawatankuasa Khas Pembangunan Komuniti Orang Asli Johor,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar Festival Hari Orang Asli Negeri Johor 2025 menjadi titik tolak transformasi komuniti tersebut sebagai pencorak masa depan negeri.
“Pada masa yang sama, saya turut menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang SPM dan STPM tahun 2024 dari komuniti Orang Asli. Kejayaan mereka adalah bukti bahawa anak-anak Orang Asli mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah, bersaing dan berjaya dalam bidang akademik apabila diberi peluang serta sokongan sewajarnya.
“Semoga Festival Hari Orang Asli Negeri Johor 2025 menjadi titik tolak transformasi komuniti ini, bukan sahaja sebagai pewaris warisan, tetapi juga sebagai pencorak masa depan negeri.
“Insya-Allah, bersama-sama kita akan membina sebuah Johor yang lebih makmur, bersatu, dan maju menjelang 2030,” katanya lagi. – UMNO Online
