ADUN Parit Yaani Ziarah Abang Amiruddin, Usaha Salur Bantuan Sewajarnya

BATU PAHAT, 15 Ogos – Nasib  menimpa seorang pesakit strok yang bergantung kepada kerusi roda, Amiruddin Abdul Hamid, 54, mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Datuk Mohd Najib Samuri yang hadir bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Batu Pahat ke kediaman beliau.

Menerusi kunjungannya semalam bersama agensi yang terlibat, Najib dapat melihat secara lebih dekat permasalahan yang dihadapi abang Amirudin dan bersama-sama mencari jalan penyelesaian terbaik membantu pesakit berkenaan.

Nasib abang Amirudin semakin mencabar apabila beliau kini turut menjalani rawatan dialisis sejak empat tahun lalu dan keadaan kesihatan yang dihadapinya menyebabkan beliau tidak lagi mampu bekerja seperti dahulu.

Menurut Mohd Najib, lawatan berkenaan membolehkan JKM membuat penilaian segera bagi menentukan bentuk bantuan tambahan yang sesuai diberikan kepada Abang Amiruddin.

“Selain itu, kami juga sedang berusaha mendapatkan bantuan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi menyediakan peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan keadaan kesihatan beliau.

“Insya-Allah, usaha ini dapat sedikit sebanyak meringankan beban yang ditanggung,” katanya kepada UMNO-Online selepas kunjungan tersebut semalam.

Program Ziarah Kasih merupakan inisiatif berterusan ADUN Parit Yaani bagi mendekati golongan memerlukan di kawasan itu, selain memastikan mereka menerima bantuan sewajarnya daripada agensi berkaitan. – UMNO Online

Link kunjungan ziarah ADUN Parit Yaani

https://www.facebook.com/reel/1264056848314577

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO