IPU: Malaysia Bukan Sekadar Hadir, Bawa Isu Global – Hasni

KUALA LUMPUR, 23 April – Ketua Delegasi Parlimen Malaysia ke Perhimpunan Inter Parliamentary Union (IPU) di Tashkent, Uzbekistan, Datuk Seri Ir Hasni Mohammad berkata mereka bukan sekadar menyertai perhimpunan berkenaan malah turut memimpin dengan membawa isu-isu global untuk penyelesaian bersama.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata selaku ketua delegasi bersama yang lain, pelbagai perkara dapat dibincang pada pentas berkenaan khususnya peranan Parlimen dalam membela suara rakyat.

“Alhamdulillah, saya diberi amanah sebagai Ketua Delegasi Parlimen Malaysia ke Perhimpunan ke 150 Inter Parliamentary Union (IPU) di Tashkent, Uzbekistan. Lebih 170 negara berhimpun, berbincang dan mencari penyelesaian terhadap isu global seperti keadilan sosial, konflik bersenjata, masa depan Palestin dan banyak lagi.

“Malaysia bukan sekadar hadir tapi kita memimpin. Selaku Naib Presiden Standing Committee on Peace and International Security, saya diberi kepercayaan oleh Presiden untuk mempengerusikan persidangan penting yang antara lainnya membincangkan resolusi dua negara untuk Palestin, ketelusan perbelanjaan pertahanan serta persiapan sidang akan datang di Geneva,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Kata beliau lagi, di pentas IPU150, Malaysia menegaskan pentingnya peranan Parlimen dalam membela suara rakyat, khususnya golongan rentan seperti warga emas, OKU, wanita, belia dan pelarian.

“Melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RM Ke-12), kita kukuhkan jaringan keselamatan sosial, latih belia dan wanita dengan kemahiran masa depan, jamin akses kesihatan sejagat serta atasi jurang digital dan krisis iklim secara adil.

“Sebagai Ahli Parlimen, kita bukan hanya penggubal dasar malah kita adalah penjaga amanah rakyat selain memastikan dasar sampai kepada yang benar benar memerlukan dan dilaksana dengan telus serta berkesan. Inilah semangat untuk rakyat demi dunia yang lebih adil dan mampan,” tambahnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79