BN Guna Masa Kempen Terus Santuni Pengundi

TAPAH, 23 April – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan gerak kerja mendekati saki baki pengundi diteruskan menjelang hari-hari terakhir berkempen.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO, berkata ia termasuk pengundi yang berada di luar kawasan dan Negeri Perak.

“Rata-rata kempen dijalankan yang sudah masuk minggu kedua diurus dengan baik, jentera bergerak dengan baik.

“Kajian sikap dibuat secara harian, dikumpulkan di bilik gerakan dan saya nampak amat positif kajian sikap dilakukan jalinan rakyat dan jentera yang menyantuni seramai mungkin pengundi untuk melihat kedudukan kita setiap hari.

“Apa yang perlu kita perkasakan setiap hari ialah terus pastikan santuni seramai mungkin baki pengundi. Sekarang ini kita sedang menghubungi pengundi yang bukan hanya duduk di luar Parlimen bahkan luar negeri Perak untuk kita pastikan mereka balik pada hari pengundian 26 April membantu BN,” katanya.

Beliau berkata ketika ditemui UMNO Online usai melakukan ziarah kasih di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Changkat Petai di sini.

Mengulas lanjut Mohamad dalam pada itu berkata gerak kerja mendekati sebanyak mungkin pengundi penting bagi memastikan penduduk di kawasan ini memahami aspirasi yang dibawa BN menerusi calon diketengah, Dr Ustaz Yusri Bakir.

“Pada masa sama gerakan untuk kita berikan penerangan tentang isu yang dibangkitkan itu supaya pengundi tidak terkeliru, tidak terus mendapat maklumat yang salah daripada mereka yang berniat tidak baik.

“Ini biasa dalam pilihan raya pelbagai cara dan tektik digunakan untuk mengelirukan, BN harus mengambil tindakan segera untuk menangkis dan menerangkan isu,” ujar beliau.

Untuk rekod calon BN, Dr Ustaz Yusri pada PRK ini berdepan tiga penjuru iaitu dengan wakil Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

PRK DUN Ayer Kuning ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79