Sambut Syawal Dengan Keinsafan Dan Kegembiraaan

KUALA LUMPUR, 5 April – Setiap tahun, umat Islam di seluruh dunia mahupun di Malaysia menantikan kehadiran bulan Syawal dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan.

Bulan yang mulia ini menandakan berakhirnya Ramadan, iaitu bulan yang dipenuhi dengan ibadah, ketakwaan dan penghayatan.

Bendahari Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Naim Bung Mokhtar mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam, rakyat Sabah dan khususnya Pemuda UMNO seluruh negeri sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

Dalam perutusan Aidilfitrinya, beliau mendoakan agar sambutan tahun ini berjalan lancar dan meriah bersama keluarga tersayang.

“Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin pada tahun 2025. Insya-Allah, saya doakan sambutan Aidilfitri tahun ini semuanya berjalan dengan lancar dengan keluarga tercinta.

“Dalam kemeriahan kita menyambut Syawal, marilah kita terus memperkukuhkan perpaduan dan semangat muafakat. Aidilfitri bukan sekadar meraikan kemenangan selepas sebulan berpuasa, tetapi juga peluang untuk mempereratkan silaturahim dan saling bermaafan,” tambahnya.

Naim turut berharap agar Aidilfitri kali ini menjadi satu titik permulaan ke arah kehidupan yang lebih baik serta penuh dengan nilai-nilai murni dalam masyarakat.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia, Hafiz Ariffin mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya.

“Saya mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri buat seluruh warga UMNO dan juga rakyat Malaysia di mana berada. Di kesempatan ini, saya mendoakan agar semua selamat perjalanan pulang ke kampung halaman masing-masing.

“Hati-hati di jalan raya dan selamat meraikan hari yang mulia ini bersama keluarga tercinta. Salam Aidilfitri buat semua,” tambahnya.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia telah mengumumkan bahawa tarikh rasmi melihat anak bulan Syawal bagi menentukan permulaan 1 Syawal 1446H akan diadakan pada petang Ahad, 30 Mac 2025 bersamaan 29 Ramadan 1446H.

Sebanyak 29 lokasi di seluruh negara telah dikenal pasti sebagai tempat cerapan rasmi, termasuk Bukit Melawati di Selangor, Balai Cerap Al-Khawarizmi di Melaka, dan Balai Cerap KUSZA di Terengganu.

Proses cerapan akan dikendalikan oleh pakar falak dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Mufti Negeri. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit