Lebaran Dirai, Sambut Dengan Kesyukuran Dan Kesederhanaan

KUALA LUMPUR, 2 April – Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan yang dirayakan oleh umat Islam bagi menandakan berakhirnya bulan Ramadan yang mana umat Islam telah menjalani ibadah puasa.

Ia bukan sekadar satu perayaan, tetapi juga merupakan waktu untuk merenung kembali pengorbanan dan penghayatan yang telah dilakukan sepanjang bulan Ramadan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh merangkap Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Suhaimizan Bizar mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam serta warga UMNO dan juga Pemuda UMNO seluruh negara.

Dalam perutusannya beliau menzahirkan harapan agar Aidilfitri kali ini membawa makna yang mendalam kepada semua.

“Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada semua umat Islam di Malaysia dan juga seluruh warga UMNO serta Pergerakan Pemuda UMNO seluruh negara.

“Semoga lebaran ini memberi seribu makna buat semua dan berhati-hati di jalan raya apabila pulang ke kampung halaman masing-masing,” katanya.

Manakala seorang lagi wakil rakyat produk Pemuda UMNO, ADUN Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah menyeru umat Islam agar sambutan lebaran ini dilakukan dengan kesederhanaan serta keprihatinan terhadap golongan yang kurang berkemampuan.

“Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada semua umat Islam. Semoga raya tahun ini memberi keberkatan, beraya dengan kesederhanaan, bermaafan dan tidak lupa pada mereka yang kurang berkemampuan. Insya-Allah… semoga Allah SWT merahmati kita semua.

“Aidilfitri bukan hanya tentang kita, tetapi juga tentang mereka yang memerlukan. Hulurkan tangan, ringankan beban dan sebarkan kegembiraan agar nikmat Syawal ini dapat dirasai oleh semua,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit