PPBM Main Wayang, Pemimpin Tertinggi ‘Tak Sebulu’ – Mohd Razlan

KUALA LUMPUR, 30 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii menempelak PPBM sambil menyifatkan kepimpinan parti itu tidak sepakat dalam hala tuju mereka.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Seputeh berkata ini dapat dilihat apabila ada percanggahan dalam kenyataan melibatkan kepimpinan tertinggi parti itu kononnya membabitkan cadangan kerjasama dengan UMNO.

“Bagi saya pelik sebab timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang berkata begitu (kerjasama dengan UMNO) tetapi kita tengok ada pula ketua penerangannya yang tak sebulu dengan pendapat Hamzah.

“Jadi bagi pandangan saya tak perlu main wayang perkara ini adalah perkara yang mereka sendiri tidak dapat diselesaikan di antara mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Berbuka Puasa Santunan Kasih Ramadan yang diadakan di Kompleks Tun Abdul Ghafar Baba.

Mohd Razlan dalam pada itu menegaskan bahawa UMNO masih berada pada landasan yang tersendiri dan masih berpegang kepada prinsip perjuangan hingga kini, walaupun parti berada dalam Kerajaan Perpaduan.

Katanya prinsip itu menjadi pegangan pemimpin parti dalam tanggungjawab yang diamanahkan untuk terus berjuang berdasarkan paksi dan laluan yang telah ditetapkan.

“Saya nak bagi maklum kepada PPBM perjuangan UMNO ini daripada dahulu, kini dan selamanya tidak pernah berubah. UMNO mempertahankan orang Melayu ketika berada di dalam Kerajaan Perpaduan ia berbeza dengan PPBM sewaktu mereka bersama dengan komponen-komponen yang lain yang sanggup menggadaikan banyak kepentingan orang Melayu.

“Namun UMNO/BN dengan adanya 30 kerusi dalam dalam Kerajaan Perpaduan ini setiap inci perkara yang diperdebatkan di dalam Kabinet, sekiranya ia melibatkan kepentingan orang Melayu ataupun Perlembagaan itu sendiri, sehingga hari ini UMNO masih tetap memperjuang dan mempertahankan,” ujar beliau.

Sementara itu beliau turut sama mengulas lanjut berkenaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning sambil meluahkan harapan bahawa UMNO/BN akan mengulangi kejayaan dicapai pada siri pilihan raya sebelum ini.

Manakala berkenaan calon, beliau percaya parti akan menampilkan personaliti yang disenangi rakyat dalam mengekalkan penguasaan di kerusi tersebut.

“Kita doakan agar dapat mengulangi kejayaan di Nenggiri, Mahkota kerana di Ayer Kuning saya lihat persiapan itu cukup hebat, jentera siap sedia dan sudah turun padang. Semua negeri-negeri angkat sudah turun berkunjung ke pusat daerah mengundi yang telah diputuskan…. itu adalah perkara yang positif.

“Walaupun pada bulan puasa, kami pastikan semua jentera-jentera ini menyapa pengundi-pengundi di sana saya harapkan agar pengundi di Ayer Kuning terus akan menyokong BN.

“Perkara (calon) ini sudah dibincangkan tunggu pengumuman calon kerana saya percaya walau siapa pun akan dinamakan nanti dengan pelancaran jentera, jamuan raya pasti ia mendapat sambutan yang baik tak kira siapa pun calonnya,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit