Pahang Prihatin… Tokwan Sampaikan Bantuan Kepada Mangsa Banjir

KUALA LUMPUR, 10 Mac – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail telah menyampaikan Bantuan Wang Ehsan Kerajaan Negeri kepada mangsa-mangsa banjir pada Ahad.

Beliau yang juga dikenali sebagai Tokwan menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan telah berkesempatan untuk berbuka puasa bersama penduduk Kampung Lubuk Kulit sebelum menyerahkan bantuan berkenaan.

“Alhamdulillah, hari ini Tokwan berkesempatan berbuka puasa bersama penduduk Kampung Lubuk Kulit di masjid kampung berkenaan.

“Tokwan turut menyerahkan Bantuan Wang Ehsan Kerajaan Negeri kepada 30 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terlibat dalam kejadian banjir hujung tahun lalu dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM30,000.

“Tokwan kemudiannya sempat ke Kampung Beletik untuk bersama-sama penduduk menunaikan solat Isyak,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berharap agar ukhuwah antara penduduk kampung terus kukuh terjalin demi kesejahteraan bersama.

“Seronok Tokwan bersama penduduk di kedua-dua kampung ini yang merupakan di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai.

“Semoga ukhuwah di antara penduduk kampung terus kukuh dan harmoni demi kesejahteraan bersama,” katanya.

Terdahulu, beliau telah bersama Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Dr Ramli Mohd Nor untuk menyampaikan bantuan kepada penduduk yang terjejas akibat kejadian kepala air pada Sabtu.

“Saya bersama Datuk Dr Ramli Mohd Nor, Ahli Parlimen Cameron Highlands telah pergi ke Pos Senderut untuk menyampaikan bantuan kepada penduduk di beberapa kawasan yang terjejas akibat kejadian kepala air malam tadi.

“Saya juga bersyukur kerana kejadian itu tidak melibatkan kemalangan jiwa. Saya menasihati penduduk di Pos Senderut supaya sentiasa waspada dengan keadaan cuaca tidak menentu yang boleh mengakibatkan kejadian bencana tidak diingini.

“Terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu memudahkan usaha saya menyampaikan bantuan kepada penduduk di kampung ini,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit