Jaga Perpaduan, Jangan Campur Urusan Agama Kaum Lain – Ab Rauf

MASJID TANAH, 8 Mac – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berharap rakyat untuk terus berteloransi dengan mengekalkan nilai perpaduan yang dikecapi selama ini.

Beliau yang juga Pengerusi UMNO Melaka berkata sikap saling menghormati merupakan pegangan utama dalam mengekalkan keharmonian tersebut.

“Saya harap rakyat faham tentang keharmonian dan perpaduan berlandaskan kepada kesejahteraan rakyat di Malaysia ni. Memang sudah lama kerajaan menganjurkan pelbagai kaedah untuk semua rakyat dapat menghormati antara satu dengan lain.

“Kita hormati dan jangan menyeberang ke dalam pegangan mereka dalam agama masing-masing. Kita agama kita, dia agama dia. Jadi jangan campur.

“Contohnya kita Islam diasuh berlandaskan agama ini sejak kecil sehinggalah meniti hari kita didik anak-anak pula.

“Jadi kalau orang luar nak cerita pasal Islam kita pun tak boleh terima sebab telah dididik dan menjadi darah daging membekalkan ilmu, pengalaman, pengetahuan,” katanya.

Ab Rauf berkata demikian ketika ditemui UMNO Online pada Majlis Santunan Kasih Ramadan yang diadakan di Masjid Ar-Rahman Kampung Rantau Panjang Masjid Tanah semalam.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta kepimpinan lain.

Mengulas lanjut Ab Rauf turut berkata sekiranya isu membabitkan agama didorong dengan sentimen emosi ia akan mencetuskan perbalahan.

“Semua agama kena menghormati antara satu sama lain kerana jika kita tidak menghormati agama dianuti oleh kaum lain akan ada perbalahan sebab tak tahu pegangan mereka macam mana,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit