Tiada Kompromi Isu Gangguan Seksual, Cabul Wanita Dan Kanak-kanak
KUALA LUMPUR, 23 Feb – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia berpandangan kejadian kanak-kanak yang berdepan serangan seksual baru-baru ini sama sekali tidak boleh dikompromi.
Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi kesal dengan perkara tersebut dan mengutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk gangguan seksual dan pencabulan terhadap kanak-kanak serta golongan yang sepatutnya disayangi dan dilindungi.
“Kami berdiri teguh menyokong pihak berkuasa dalam mengambil tindakan tegas terhadap pelaku dan akan terus bersuara demi keadilan.
“Kami percaya ada lagi yang mengalami situasi sama tapi tidak berani buat laporan kepada pihak berkuasa,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Nurul Amal dalam pada itu turut menyeru mana-mana individu yang pernah mengalami kejadian seperti ini untuk tidak berdiam diri.
“Anda tidak keseorangan, kami sedia membantu anda pada bila-bila masa dan di mana sahaja.
“Jangan ragu untuk menghubungi kami melalui mesej di semua platform media sosial. Jangan takut, kita lawan bersama sama,” ujar beliau.
Terdahulu, media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan dicabul kira-kira jam 6.41 pagi, Jumaat.
Menerusi satu video tular di platform Instagram, mangsa masih berada dalam keadaan menggigil semasa menceritakan detik hitam dirinya dicabul lelaki tersebut.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 19 tahun di Batang Kali yang juga memiliki kad Orang Kurang Upaya (OKU) masalah pembelajaran. – UMNO Online