‘Saya Nak Jadi Pelajar Seimbang Dunia Dan Akhirat’…Ungkapan Penuh Makna – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 19 Feb – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki terharu dengan jawapan ringkas salah seorang pelajar baharu tingkatan 1 Maktab Rendah Sians Mara (MRSM) Ulul Albab Sungai Besar yang berhasrat untuk menjadi pelajar seimbang dunia dan akhirat.

Menerusi perkongsian di Facebooknya, Dr Asyraf yang juga Setiausaha Agung UMNO melihat jawapan yang dilontarkan oleh pelajar berkenaan benar-benar menyentuh hati beliau ketika kunjungannya ke MRSM berkenaan sempena pendaftaran pelajar baharu tingkatan 1 hari ini.

“Saya nak jadi pelajar seimbang dunia dan akhirat, Dr…!Itulah jawapan penuh yakin daripada Adik Darwish ketika saya bertanya mengapa ingin masuk ke MRSM Ulul Albab. Jawapan ringkas tetapi penuh makna ini benar-benar menyentuh hati saya semasa lawatan terjah ke MRSM Ulul Albab, Sungai Besar (SUBES) bersempena pendaftaran pelajar baharu tingkatan 1 hari ini.

“Seramai 128 pelajar memulakan perjalanan baharu mereka dalam sistem MRSM Ulul Albab Sungai Besar (SUBES), ini adalah satu program pendidikan yang menggabungkan kecemerlangan akademik dengan hafazan Al-Quran dalam ekosistem MARA,” katanya.

Namun katanya, yang paling mengharukan hari ini adalah bukan sekadar melihat anak-anak ini melangkah masuk ke asrama, tetapi wajah-wajah ibu bapa yang penuh kegembiraan, syukur dan bangga kerana mencapai impian untuk anak masuk ke MRSM.

“Untuk sesi kemasukan kali ini, MARA menerima lebih 100 ribu permohonan. Namun, hanya 21,994 pelajar berjaya melepasi Ujian Kecenderungan Kemasukan ke MRSM (UKKM) dan daripada jumlah itu, hanya 8,909 pelajar mendapat tawaran ke MRSM seluruh negara.

“Angka ini jelas menunjukkan betapa kompetitifnya proses pemilihan dan betapa bertuahnya mereka yang berjaya hari ini. Kepada para pelajar yang terpilih, manfaatkan peluang ini sebaiknya. Belajarlah dengan tekun, jadilah insan cemerlang yang bukan sahaja berjaya di dunia tetapi juga memberi manfaat kepada agama, bangsa, dan negara. Selamat maju jaya,” ujarnya lagi.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit