UMNO Tegaskan Tiada Keperluan Jawatan Menteri Untuk Masyarakat Bukan Islam

KUALA LUMPUR, 14 Feb – UMNO menegaskan bahawa tiada keperluan untuk kerajaan mewujudkan jawatan menteri khusus bagi masyarakat bukan Islam, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau yang juga Menteri Besar Pahang berkata, UMNO menghormati prinsip Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak dan kebajikan semua rakyat Malaysia termasuk masyarakat bukan Islam.

“UMNO berpendirian tegas bahawa tiada keperluan untuk kerajaan mewujudkan jawatan menteri atau kementerian khusus berkaitan masyarakat bukan Islam.

“UMNO menghormati prinsip Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak dan kebajikan semua rakyat Malaysia termasuk masyarakat bukan Islam, dalam mengamalkan agama serta budaya mereka tanpa halangan.

“Prinsip ini telah lama menjadi asas keharmonian dan kesejahteraan negara. Selain itu, tradisi kabinet Malaysia yang dianggotai oleh ahli daripada pelbagai kaum sudah menjamin segala masalah rakyat disuarakan oleh wakil masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan bahawa setiap kenyataan dan pandangan terutamanya di Dewan Rakyat perlu mengambil kira peruntukan perlembagaan untuk menjamin keharmonian masyarakat.

“Justeru, UMNO berpandangan bahawa kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Raub di Dewan Rakyat berkaitan isu ini seharusnya ditolak sepenuhnya. Ini kerana ia hanya mampu mencetuskan polemik dan mendatangkan kemarahan masyarakat Melayu-Islam terhadap kerajaan.

“UMNO menegaskan bahawa setiap kenyataan dan pandangan yang melibatkan perubahan kepada dasar dan polisi sedia ada perlu mengambil kira peruntukan dalam perlembagaan. Ini berupaya menjamin kestabilan dan keharmonian yang telah dipupuk oleh pengasas negara ini sejak sekian lama,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit