Wan Rosdy Hadiri Rumah Terbuka MCA, Harap Keharmonian Antara Kaum Dikekalkan
KUALA LUMPUR, 9 Feb – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail telah menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2025 MCA Pahang pada Sabtu.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Naib Presiden UMNO memaklumkan rumah terbuka tersebut meriah dan mencerminkan semangat harmoni antara kaum.
“Saya menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2025 MCA Pahang di Mentakab tengah pada Sabtu.
“Meriah sungguh rumah terbuka ini dengan dihadiri pelbagai kaum. Ia mencerminkan kehidupan penuh dengan semangat muhibah dan harmoni yang telah kita bina sejak sekian lama.
“Terima kasih MCA Pahang kerana sudi jemput saya untuk memeriahkan rumah terbuka ini,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut mengharapkan semua pihak berganding bahu untuk membina Negeri Pahang yang lebih makmur, maju dan sejahtera.
“Harapan saya agar keharmonian dan tolerasi antara kaum serta agama ini terus dikekalkan demi memastikan kestabilan rakyat di negeri Pahang terus berkekalan.
“Marilah kita bersama-sama berganding bahu membina negeri Pahang sebagai sebuah negeri yang lebih maju, makmur dan sejahtera,” katanya. – UMNO Online