Kesepakatan BN Benteng Kekuatan Dalam Arus Politik Baharu – Ab Rauf

KUALA LUMPUR, 4 Feb – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menegaskan bahawa kesepakatan dan perpaduan dalam kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu UMNO, MCA, MIC, dan PBRS adalah benteng kekuatan BN, khususnya dalam menghadapi arus politik baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, semangat kesatuan ini menjadi asas penting bagi memastikan kestabilan politik, kemakmuran negara, dan kesejahteraan rakyat.

“Kesepakatan menjadikan kita teguh, kebersamaan menjadikan kita kuat. Inilah kekuatan Barisan Nasional!” katanya ketika menghadiri perjumpaan dan taklimat bersama Ahli-Ahli Dewan Negara, Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Undangan Negeri BN di sini, malam tadi.

Majlis tersebut turut menyaksikan sesi khas bersama Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Turut menyampaikan ucapan ialah Timbalan Pengerusi BN merangkap Timbalan Presiden UMNO yang juga Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Sesi taklimat pula disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said diikuti oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Menteri Pendidikan Tinggi yang juga Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan dan Presiden PBRS, Datuk Arthur Joseph Kurup. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit