MB Kedah Dicabar Dedahkan Pihak Yang Mahu ‘Mensabotaj’ Pelaburan Negeri – Shaiful Hazizy

KUALA LUMPUR, 27 Nov – Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata pihaknya bimbang satu lagi cubaan memanipulasi persepsi dan sentimen yang cuba dimainkan oleh Menteri Besar negeri berkenaan berhubung dakwaan ‘grand plan’ untuk mensabotaj pelaburan di Kedah.

Menurut beliau UMNO Kedah melihat dakwaan tersebut cukup serius apabila apabila Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa ada pihak yang sedang merangka sebuah pelan mega ataupun ‘grand plan’ dengan tujuan mahu mensabotaj dan mengagalkan mana-mana pihak yang mahu melabur di negeri tersebut.

“UMNO Kedah dengan ini mencabar Menteri Besar mendedahkan siapakah dalang di sebalik ‘grand plan’ yang dimaksudkan itu. UMNO Kedah melihat ini adalah satu tuduhan tanpa asas semata-mata mahu mencipta persepsi dan sentimen murahan bagi mengaburi kegagalan kerajaan negeri mengekalkan pengumuman pelaburan yang sedia gagal.

“UMNO Kedah berpandangan, kerajaan ini tidak boleh semata-mata ditadbir melalui kaedah perang ‘persepsi dan ‘sentimen’ semata-mata, tetapi seharusnya realistik dan praktikal demi kelangsungan rakyat,” katanya kepada UMNO-Online.

Kata beliau lagi UMNO Kedah yakin, rakyat semakin menyedari strategi politik berselindung dan mengaburi yang sering diamalkan oleh Menteri Besar.

“Cuma UMNO Kedah sangat bimbang politik sedemikian rupa tidak lain dan tidak bukan akan hanya memberi kesan kepada rakyat dan negeri Kedah itu sendiri,” ujarnya.- UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit