Malaysia-Jepun Tingkat Kerjasama Perdagangan Dan Pelaburan – Mohamad Alamin

PUTRAJAYA, 24 Sept – Malaysia dan Jepun telah menegaskan komitmen bersama untuk memperkukuh Perkongsian Strategik Komprehensif antara kedua-dua negara.

Komitmen tersebut dinyatakan oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin dalam mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya dari Jepun, Masahiro Komura, semalam.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak membincangkan peluang untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, serta memperkukuh kerjasama sedia ada dalam sektor pertahanan, pelancongan, pendidikan tinggi, dan tenaga hijau.

Selain itu, mereka turut bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa, termasuk hubungan dialog ASEAN-Jepun serta situasi konflik di Gaza.

“Kami turut membincangkan peningkatan kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, serta memperkukuh kerjasama sedia ada dalam bidang pertahanan, pelancongan, pendidikan tinggi, dan tenaga hijau selain bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa, termasuk hubungan dialog ASEAN-Jepun dan peperangan di Gaza.

“Semasa di sini, Komura telah melawat kampus Universiti Tsukuba cawangan Malaysia, yang dirasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir. Bagi pendaftaran pertama seramai 13 pelajar telah memohon untuk melanjutkan pelajaran dalam Program Sarjana Muda Sastera dan Sains di bawah Pusat Pengajian Sains dan Reka Bentuk Transdisiplin,”katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kimanis menjelaskan Jepun merupakan rakan dagang yang keempat terbesar Malaysia dengan jumlah dagangan bernilai RM156.64 bilion.

“Jepun merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia untuk sembilan tahun berturut-turut. Pada tahun 2023, jumlah dagangan antara Malaysia dan Jepun bernilai RM156.64 bilion (USD34.39 bilion).

“Sehingga tahun 2023, sebanyak 2,810 projek oleh syarikat Jepun telah dilaksanakan di Malaysia, dengan nilai pelaburan berjumlah RM102.11 bilion (USD29.67 bilion), menyediakan 344,120 peluang pekerjaan,” katanya lagi.

Komura mengadakan lawatan kerja ke Malaysia pada 22 hingga 23 September dalam rangka lawatan beliau ke Asia Tenggara.

Ini merupakan lawatan pertama Komura ke Malaysia sejak dilantik pada September 2023. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.