Lawatan Ke Timor-Leste Buahkan Hasil, Kerjasama Teroka Bidang Baharu – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa lawatan rasmi ke Republik Demokratik Timor-Leste telah membuahkan hasil sepertimana yang diharapkan.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, pertemuan dengan Presiden José Ramos-Horta, Perdana Menteri Kay Rala Xanana Gusmão dan beberapa lagi pemimpin lain telah memberikan peluang kepada Malaysia dan Timor-Leste untuk mengembangkan potensi kerjasama dan meneroka bidang-bidang baharu yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
“Beberapa pertemuan dan perbincangan telah dilakukan berkisar kepada usaha memperkasa hubungan dua-hala termasuk tumpuan kepada sektor-sektor tertentu seperti pembangunan desa, perumahan, industri halal, pemerkasaan sektor pelancongan yang semakin berkembang serta usaha Timor-Leste untuk menjadi anggota baharu di dalam ASEAN.
“Sebagai simbolik memperkukuh hubungan dua-hala di antara kedua-dua negara, Kerajaan Timor-Leste telah menganugerahkan kepada Malaysia tanah seluas 6,000 meter persegi yang boleh dimanfaatkan untuk pembinaan Kedutaan Malaysia dan pelbagai kegunaan untuk rakyat Malaysia di sini,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.
Ujar Ahmad Zahid yang dalam rangka lawatan rasmi ke Timor-Leste selama tiga hari berkata usaha untuk meningkatkan perdagangan dua-hala turut dilakukan dengan membuka peluang penglibatan yang lebih luas kepada sektor swasta untuk memainkan peranan mereka.
“Dalam hal ini, saya telah mencadangkan supaya TradeInvest Timor-Leste bagi menjalankan misi perdagangan dan pelaburan ke Malaysia dengan meneroka pelbagai peluang pelaburan yang berpotensi untuk manfaat kedua-dua negara.
“Malaysia, melalui Malaysian Technical Cooperation Programme (MTCP) juga terus komited untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran dengan Timor-Leste di bawah rangka Kerjasama Selatan-Selatan. Setakat ini, Malaysia telah melatih 781 peserta dari Timor-Leste melalui pelbagai kursus dan program bantuan teknikal yang ditawarkan.”
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memaklumkan bahawa kementerian terbabit melalui Institut Kemajuan Desa (INFRA) akan menjemput para pemimpin dan pegawai Kerajaan dari Timor-Leste yang terlibat secara langsung dengan pembangunan luar
bandar untuk hadir ke Malaysia khusus dalam menawarkan peluang bagi mereka untuk melakukan kajian kes dan menimba pengalaman Malaysia membangunkan luar bandar.
“Keberhasilan Program Lawatan Rasmi ke Timor-Leste ini turut diterjemah melalui pemeteraian Surat Niat (LoI) antara UniKL dan Kementerian Pendidikan Tinggi Timor- Leste bagi merealisasikan penubuhan pusat Pendidikan dan Latihan Vokasional (TVET) baharu di negara ini.
“UniKL juga bersedia untuk menawarkan 50 biasiswa kepada pelajar Timor-Leste yang layak untuk melanjutkan pengajian Master dan PhD di institusi tersebut.
“Pada masa yang sama, saya dan para delegasi turut berbesar hati apabila dijemput oleh Kerajaan Timor-Leste menghadiri Majlis Ulang Tahun Referendum yang ke-25 (Popular Consultation Day) di Parlimen Nasional.”
Ujarnya, sambutan ini merupakan suatu acara yang bersejarah buat Timor-Lester iaitu rakyatnya telah bertindak memilih untuk menjadi sebuah negara yang bebas dan merdeka sekaligus bermulanya era baharu dalam sejarah negara ini.
“Mewakili Malaysia, saya mengucapkan tahniah kepada Kerajaan dan rakyat Timor-Leste yang telah menyambut Ulang Tahun Referendum yang ke-25 pada hari ini. Semoga Timor-Leste terus berkembang maju dan berjaya mewujudkan kemakmuran, keamanan, dan kesejahteraan yang berpanjangan.
“Mengakhiri lawatan saya, ketika solat Jumaat di Masjid An-Nur, Dili, saya telah meminta wakil Halal Development Corporation (HDC) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk membantu usaha komuniti Islam di Timor Leste mewujudkan sebuah badan pensijilan tersendiri bagi membangunkan potensi halal di sini,” katanya lagi. – UMNO Online