Kukuhkan Perpaduan Demi Mengembalikan Kekuatan UMNO – Mohamed Khaled

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyeru seluruh pemimpin dan ahli parti untuk mengukuhkan perpaduan demi mengembalikan semula kekuatan UMNO/Barisan Nasional (BN).

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau mengakui bahawa UMNO memerlukan ramuan dan formula yang terbaik dalam usaha memulihkan semula sokongan rakyat terhadap parti tersebut.

“Pada Ahad, saya turut merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Salak. Pelbagai perkara telah dikongsikan. Sama ada suka ataupun tidak, kita perlu terima hakikat bahawa parti kita kini lemah. Kita memerlukan ramuan dan formula yang terbaik dalam merawatnya.

“Saya telah sarankan bahawa dalam usaha kita mengembalikan keyakinan orang Melayu terhadap UMNO, lebih-lebih lagi parti kita ini merupakan satu-satunya parti Melayu dalam kerajaan, kita perlu terus memperkuat dan memperkukuh UMNO. Semakin kuat UMNO, semakin banyak khidmat bakti yang boleh kita sumbangkan kepada bangsa.

“Kita perlu tampil sebagai sebuah Gerakan Kebaikan dan Pembaharuan untuk orang Melayu. Sejak dahulu lagi, UMNO digerakkan untuk membawa kebaikan kepada bangsa. Bermula dari usaha mencapai kemerdekaan dan kini, memastikan kesejahteraan untuk orang Melayu dan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Menurutnya, UMNO juga perlu tampil sebagai agen pencerahan selain dari terus memberikan khidmat bakti kepada masyarakat.

“Khidmat bakti kita kepada masyarakat merupakan salah satu daripada Gerakan Kebaikan tersebut. Di Pasir Salak sendiri, tiada wakil rakyat UMNO. Namun ia tidak menghalang ahli UMNO untuk bersuara bagi masalah yang dihadapi rakyat di sana. Kita perlu ingat, tujuan kita bersama UMNO, bukan semata-mata untuk pilihanraya … dan sebagai umat Islam, kita percaya bahawa dunia ini adalah ladang bagi akhirat kelak.

“UMNO juga perlu tampil sebagai parti yang membawa pencerahan kepada bangsa. Apa jua masalah, isu mahupun cabaran yang dihadapi bangsa, kita perlu berikan pencerahan. Dahulu kita tampil dengan idea besar seperti FELCRA dan Tabung Haji bagi membantu orang Melayu khususnya. Kini kita berusaha memberdayakan anak bangsa melalui TVET.

“Bagi mencapai matlamat parti, penting untuk kita sama-sama kukuhkan perpaduan dalam kalangan kita. Jangan kita bicara soal strategi, sekiranya asas kepada kekuatan kita tidak dipenuhi. Sebagai ahli UMNO, sudah tentulah kita mahu parti kita sentiasa kuat dan menang. Sama-samalah kita terus bersatu padu. Hanya melaluinya, kita boleh menjayakan matlamat parti keramat ini,” katanya lagi.

Untuk rekod, mesyuarat cawangan UMNO di seluruh negara telah diadakan bermula 22 April dan berakhir pada 2 Jun lalu.

Seterusnya, mesyuarat UMNO Bahagian-Bahagian dan sayap pula telah bermula pada 21 Jun lalu dan bakal berakhir pada 29 Julai ini manakala Perhimpunan Agung UMNO (PAU) akan dilangsungkan pada 21 sehingga 24 Ogos ini. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit