PLKN 3.0 Dijangka Mula Pertengahan Tahun Depan – Khaled

KUALA LUMPUR, 10 Julai – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 dicadangkan bermula sekitar pertengahan tahun depan.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata ia membabitkan fasa pra PLKN di peringkat sekolah terlebih dahulu.

“Bagi fasa pra-PLKN di peringkat sekolah ia akan dilaksanakan bersama dengan ketetapan pelaksanaan modul generasi madani oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan dijangka bermula pada Jun, Julai tahun hadapan.

“Manakala fasa PLKN asas yang melibatkan peserta 17 tahun dan ke atas di kem-kem askar wataniah selama 45 hari ia dijangka akan dimulakan pada April 2026.

“Walau bagaimanapun, projek rintis akan bermula pada Jun, Julai 2025 yang akan melibatkan dua Kem Wataniah dengan sasaran penyertaan seramai 1,000 peserta. Manakala bagi fasa PLKN asas di Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) ia akan bermula pada pengambilan pelajar sesi akademik 2026-2027,” katanya.

Mohamed Khaled berkata demikian menjawab soalan Zahari Kechik (BEBAS-Jeli) yang mahu mengetahui status terkini bagi pelaksanaan semula PLKN.

Menurut beliau fasa latihan asas merangkumi pengisian latihan yang terdiri daripada modul asas kenegaraan sebanyak 30 peratus dan latihan asas ketenteraan sebanyak 70 peratus.

Manakala modul asas kenegaraan dibangunkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi mengandungi modul kenegaraan elemen jati diri, modul kenegaraan elemen cinta negara dan modul kenegaraan elemen perpaduan.

“Modul asas ketenteraan pula dibangunkan oleh Kementerian Pertahanan yang berkonsepkan pembelajaran melalui pengalaman serta latihan berkumpulan.

“Latihan akan dilatih untuk mempraktikan budaya kehidupan tentera seperti disiplin, ketetapan masa tersusun dan mendiri. Pelatih PLKN juga diberi peluang untuk menjalani latihan lanjutan mengikuti bidang yang mereka minati,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.