Terimalah Hakikat Bekerjasama Adalah Cara Terbaik Untuk Masa Depan UMNO – Ahmad Zahid

KUALA KANGSAR, 8 Julai – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta akar umbi parti untuk menerima hakikat bahawa bekerjasama dengan parti-parti politik adalah cara terbaik bagi memastikan kelangsungan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Katanya yang juga Timbalan Perdana Menteri, dalam politik tidak ada kawan yang kekal dan tidak ada juga musuh yang kekal.

“Dalam politik mana ada kawan kekal, musuh kekal kerana hari ini kawan esok boleh jadi musuh dan hari ini musuh maka esok kawan. Dalam keadaan berkawan inilah kita hari ini dapat mentadbir Kerajaan Negeri Perak dan dapat bergerak dengan baik dalam Kerajaan Perpaduan.

“Di pusat BN hanya ada 26 kerusi di Perak BN hanya ada sembilan kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri). Ditakdirkan kita menjadi pentadbir, menteri besar Perak dari BN dan kita ada dalam kerajaan pusat.

“Terimalah hakikat bahawa cara terbaik adalah bekerjasama dengan sesiapa saja, maka bekerjasamalah. Jangan ingat kita boleh duduk di atas ini kalau tak ada sokongan dari bawah dan yang atas ini pun kena menyantuni yang bawah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kangsar yang berlangsung di Dewan Jubli, di sini, hari ini.

Jelas beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri, untuk Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, gerak kerja mesti disusun dari sekarang.

“Untuk PRU akan datang kita mesti susun dan bentuk kerjasama, bukannya bertanding dengan lambang mereka dalam Kerajaan Perpaduan. Insya-Allah kita akan menggunakan lambang kita Barisan Nasional sendiri.

“Kita perlu perkukuhkan Kerajaan Perpaduan supaya kita dapat bertanding banyak kerusi. Kalau nak bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), maka kita hanya boleh bertanding 30 kerusi sahaja.

“Kita nak bertanding di kerusi-kerusi kita sendiri, sehingga kini mana ada kerusi yang kita lawan dengan Dap. Dap tak pernah lawan dengan parti kita, PKR bertanding kawasan bercampur, mungkin ada kawasan yang bertindih yang kita boleh bincangkan, maka kita teruskan gerak kerja kita.”

Tegas beliau, dalam apa juga keadaan UMNO perlu bekerja bersungguh-sungguh.

“Kita mesti bekerja keras dan bekerja bersungguh-sungguh. Selagi saya masih Presiden UMNO saya mahu bersama membentuk kerajaan yang kuat. Jangan gopoh nanti gulung terus. Kita tak pernah pijak orang untuk naik dan pemimpin adalah di dorong dari bawah untuk naik ke atas.

“Kita telah merasai bagaimana sukar mentadbir ketika UMNO tak menjadi kerajaan, dalam keadaan harta UMNO dibekukan dan saya dicampak dengan 87 pertuduhan di mahkamah,” katanya lagi.

Turut bersama ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Datuk Maslin Sham Razman dan perwakilan bahagian terbabit. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit