PRK Sungai Bakap: Ada Peningkatan Sokongan Untuk Dr Joohari Ariffin

NIBONG TEBAL, 5 Julai – Ada peningkatan sokongan untuk calon Kerajaan Perpaduan, Dr Joohari Ariffin sepanjang tempoh berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap dan seterusnya akan diterjemahkan dalam bentuk undi yang bakal berlangsung pada esok.

Pengerusi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Puteri Gunong, Shahul Hamid berkata, beliau berharap agar calon Kerajaan Perpaduan menang dengan majoriti yang banyak di kawasan tersebut.

“Ada peningkatan untuk calon Pakatan Harapan (PH) yang mewakili Kerajaan Perpaduan. Dari Pilihan Raya Negeri (PRN) dulu, sekarang kita lihat ini ada sedikit peningkatan dari segi sokongan.

“Kita berharap para pengundi akan sedar siapa yang mereka patut pilih. Semoga kita akan menang di kawasan PDM Puteri Gunong ini dengan majoriti yang banyak. Pesanan kepada pengundi, jangan lupa undi calon nombor satu, Dr Joohari Ariffin,” katanya kepada UMNO Online.

Sementara itu, Ketua Jalinan Rakyat (JR) PDM Puteri Gunong, Zaiton Mohd Nor memaklumkan bahawa seluruh jentera telah bekerja keras dan beliau mengharapkan agar rakyat di Sungai Bakap memilih calon Kerajaan Perpaduan.

“Kita (jentera) telah berusaha sehabis baik dan ‘all out’. Kita sudah mendekati seberapa ramai mungkin pengundi. Insya-Allah kita mampu menang di PDM Puteri Gunong ini.

“Pesanan saya kepada pengundi, ‘ikan duri, ikan siakap… undilah Cikgu Joohari untuk Sungai Bakap,” katanya.

PRK kerusi DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Kerajaan Perpaduan daripada PH dan Perikatan Nasional (PN).

PH mempertaruhkan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin untuk merampas kembali kerusi kubu kuat PKR itu.

Manakala PN yang perlu mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lepas diwakili bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula 22 Jun hingga 11.59 malam pada 5 Julai.

Seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

PRK berkenaan merupakan PRK kelapan yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada 2022. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.