Jalaluddin Harap Rakyat Sg Bakap Buat Pilihan Tepat, Undi Calon Kerajaan Perpaduan

NIBONG TEBAL, 5 Julai – Nasib lebih 39,000 rakyat di Sungai Bakap hanya akan dapat dibela sekiranya mereka memberi mandat kepada calon Kerajaan Perpaduan, Dr Joohari Ariffin, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Menurutnya, suasana berkempen dilihat berjalan lancar dengan sambutan baik daripada rakyat Sungai Bakap yang dilihat semakin memberikan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.

“Saya bersama rakan-rakan jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Negeri, Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri Negeri Sembilan, exco-exco serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah datang ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) Puteri Gunung untuk melakukan ziarah dari rumah ke rumah. Ini adalah bertujuan untuk membantu Dr Joohari Ariffin, calon daripada Kerajaan Perpaduan.

“Pada PRK kali ini, saya dapati suasana kempen sangat baik begitu juga dengan sambutan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan. Cuma ada beberapa perkara yang jadi persoalan di kalangan rakyat dan penduduk. Antaranya ialah bagi tempoh akhir-akhir ini, mereka tidak mendapat layanan untuk mendapatkan segala bentuk bantuan bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

“Saya beritahu mereka bahawa ini adalah peluang yang diberikan kepada semua pengundi di PDM Puteri Gunung khususnya dan juga di DUN Sungai Bakap supaya membuat pilihan tepat pada hari Sabtu ini. Kerana apabila kita buat pilihan yang tepat, lebih 39,000 nasib pengundi di Sungai Bakap akan terbela bagi tempoh lima tahun yang akan datang,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, penduduk di Sungai Bakap perlu memilih wakil rakyat yang sealiran dengan kerajaan negeri dan persekutuan kerana segala permasalahan akan dapat diselesaikan dengan baik.

“Wakil rakyat yang kita pilih haruslah berada dalam sistem pentadbiran kerajaan, iaitu Kerajaan Perpaduan, sama ada di negeri ataupun di peringkat pusat. Apabila adanya wakil rakyat yang mewakili Kerajaan Perpaduan maka segala permasalahan rakyat akan dapat diselesaikan peringkat demi peringkat.

“Tentunya ada beberapa perkara bakal mengambil masa yang panjang untuk diselesaikan, tetapi ia boleh dilaksanakan apabila kita membuat pilihan tepat bagi mewakili pengundi dan rakyat di Sungai Bakap. Atas faktor itu, saya bersama dengan wakil-wakil rakyat Negeri Sembilan, hampir 80 anggota dan kontinjen, berkampung di Sungai Bakap ini untuk berkongsi pandangan dengan pengundi-pengundi kita.

“Insya-Allah pada 6 Julai nanti, majoriti di kalangan pengundi sama ada orang Melayu, Cina, dan India akan memberikan sokongan penuh kepada Cikgu Joohari, calon nombor satu daripada Pakatan Harapan, mewakili Kerajaan Perpaduan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau yakin bahawa Cikgu Joohari mampu untuk melaksanakan tugasnya sebagai wakil rakyat berdasarkan kepada kredibiliti yang ada pada beliau.

“Saya mengharapkan agar apabila Cikgu Joohari diisytiharkan menjadi wakil rakyat ataupun ADUN di Sungai Bakap pada petang 6 Julai akan memulakan tugas beliau untuk memastikan semua permintaan, permohonan apatah lagi untuk membela rakyat dalam soal yang berkaitan dengan kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan.

“Saya yakin dengan kemampuan calon kita, apatah lagi dengan sokongan dan dukungan daripada kerajaan negeri serta pusat, maka rakyat di Sungai Bakap akan terbela. Insya-Allah. Jangan lupa undi calon nombor satu, calon Kerajaan Perpaduan pada 6 Julai untuk masa depan yang lebih baik di Sungai Bakap,” katanya lagi.

PRK kerusi DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Kerajaan Perpaduan daripada Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

PH mempertaruhkan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin untuk merampas kembali kerusi kubu kuat PKR itu.

Manakala PN yang perlu mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lepas diwakili bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula 22 Jun hingga 11.59 malam pada 5 Julai.

Seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

PRK berkenaan merupakan PRK kelapan yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada 2022. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.