KeDESA Sasar Kenal Pasti 10,000 Anak Bumiputera Untuk Sambung Pengajian – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 4 Julai – Seramai 10,000 anak-anak Bumiputera akan dikenal pasti untuk meneruskan pengajian dalam aliran tertentu menerusi Kembara Kesedaran Pendidikan Anak Desa MADANI (KeDESA).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata bagi tujuan itu KeDESA akan menjelajah ke 40 kawasan luar bandar dan pedalaman di seluruh negara dalam tempoh tiga hingga enam bulan bagi mengenal pasti mereka yang berkelayakan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata program itu akan dilaksanakan Gerakan Pendidikan Bumiputera Malaysia (GPBM).

“Saya amat berbesar hati dan menyokong sepenuhnya program KeDESA. Ini kerana, program KeDESA ini memberi penekanan kepada mencari dan mengenal pasti pelajar berkelayakan dan berpotensi untuk meneruskan pengajian dalam aliran tertentu.

“Ia juga bagi memberi kesedaran betapa pentingnya pendidikan kepada mereka dan membantu menjadi perantara kepada pelajar dan institusi pendidikan untuk membolehkan mereka menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan berkemahiran, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya ketika berucap pada Majlis Flag Off KeDESA di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi Jawatankuasa Induk KeDESA yang juga Penasihat GPBM Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid.

Sementara itu Nurulhidayah berkata idea untuk mewujudkan KeDESA tercetus ekoran kebimbangan berhubung statistik sejumlah 10,160 daripada keseluruhan 383,685 calon baharu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023, tidak hadir menduduki peperiksaan itu.

“Bayangkan betapa ruginya mereka ini dalam tempoh masa panjang, disebabkan itu bagi mengelakkan lebih ramai keciciran maka GPBM ambil inisiatif khas menerusi KeDESA,” katanya.

Beliau berkata pelaksanaan program KeDESA juga menitikberatkan beberapa aspek iaitu buta warna dalam memilih mereka yang berkelayakan, mengenal pasti pelajar dengan sebaik mungkin mengikut kecenderungan dan minat selain memberi kesedaran kepada mereka tentang kepentingan menyambung pendidikan ke peringkat lebih tinggi.

Program KeDESA akan bermula bulan ini hingga Disember. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.