Fokus Gerak Kerja, Berkhidmat Untuk Semua – Mohamad Alamin

KIMANIS, 23 Jun – Ketua UMNO bahagian Kimanis, Datuk Mohamad Alamin berkata seluruh jentera parti perlu fokus kepada gerak kerja masing-masing dalam usaha memastikan UMNO terus utuh.

Menurut beliau gerak kerja bersepadu pelbagai peringkat amat penting dalam usaha memastikan khidmat parti kepada rakyat berterusan.

“Insya-Allah… platform yang ada kita gunakan untuk membantu rakyat bukan sahaja di Kimanis malah untuk Sabah. Apa yang penting kita ada kuasa politik… peranan dalam kerajaan juga cukup penting… gabungan kedua-dua ini memudahkan kita memberikan khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat UMNO bahagian Kimanis yang disempurnakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di sini, pagi tadi.

Turut serta Ketua UMNO Sabah, Datuk Bung Moktar Radin dan pimpinan UMNO lain.

Mohamad Alamin seterusnya menambah pendekatan turun padang amat penting dalam usaha menyantuni khidmat terbaik kepada rakyat.

“Kita ambil pendekatan turun ke bawah berkhidmat tanpa mengira latar belakang parti politik dan bekerja untuk semua melangkaui soal rakyat terbanyak tanpa mengira parti mana.

“Pengundi kebanyakannya juga bukan menjadi mana-mana ahli parti. Sebab itu saya minta jentera fokus turun ke bawah tanpa kira parti dekati semua rakyat. Kita berkhidmat untuk semua dengan sebaik mungkin,” ujarnya.

Dalam ucapannya juga beliau turut menaruh keyakinan pimpinan parti mempunyai kebijaksanaan yang tersendiri dalam menguruskan serta melaksanakan langkah seterusnya dalam usaha memastikan kebangkitan UMNO di negeri berkenaan.

“Ada orang kata kita lemah… tidak berani dengan menyertai Kerajaan Perpaduan tetapi sebenarnya ada hikmah tersendiri. Kita bergerak dengan penuh kebijaksanaan dan keberadaan dalam kerajaan perpaduan… insya-Allah berilah kepercayaan kepada pimpinan untuk rancang strategi terbaik.

“Begitu juga soal tentang siapa kawan kita… kita serahkan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan untuk memutuskan dalam kita berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti,” tambahnya,” – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.