Penubuhan JKDM Bukan Isu Politik, Beri Manfaat Kepada Rakyat – Awang Aslee

KUALA PENYU, 7 Jun – Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat menegaskan bahawa penubuhan Jawatankuasa Kemajuan Desa Madani (JKDM) di Sabah bukanlah isu politik kerana ia akan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

Katanya, JKDM yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan dapat menjadi saluran kepada masyarakat khususnya di luar bandar untuk menyuarakan keperluan bagi tindakan terus daripada kerajaan Persekutuan.

Terdahulu dilaporkan bahawa penubuhan JKDM mendapat bantahan daripada beberapa pihak dengan alasan sudah ada jawatankuasa lain termasuk Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK).

Dalam hal ini Awang Aslee menjelaskan bahawa JKDM mampu menjadi saluran baharu kepada rakyat selain daripada JKKK sendiri.

“Sebenarnya pelantikan JKDM ini bagus dan baik untuk rakyat terutama sekali masyarakat desa, tetapi isu ini disalah erti oleh pihak-pihak tertentu yang berkepentingan.

“Untuk peringkat kerajaan negeri ada JKKK dan kerajaan Persekutuan, ada JKDM. Sekiranya rakyat ada kemukakan permohonan kepada JKKK tetapi mungkin lambat, sekurang-kurangnya mereka boleh salurkan permohonan kepada JKDM.

“Jadi sebenarnya tiada isu pun sebab yang dapat kebaikan adalah rakyat tapi isu ini diputar belit oleh orang-orang tertentu yang ada kepentingan dan takut dengan kewujudan JKDM ini,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau juga menasihatkan kepada pemimpin-pemimpin Negeri Sabah untuk fokus kepada kepentingan rakyat.

“Kepada pemimpin-pemimpin Negeri Sabah yang menunggang isu JKDM demi kepentingan politik, saya nasihatkan cukup-cukuplah. Fokuslah kepada portfolio anda. Sekarang ini bukan masa untuk berpolitik tetapi inilah ruang untuk mentadbir Negeri Sabah ke peringkat yang lebih tinggi.

“Kita laung ‘Sabah Maju Jaya’ tapi di sebaliknya kita menolak kemajuan dan pada masa yang sama menolak usaha-usaha Kerajaan Persekutuan untuk menoktahkan kemiskinan di Negeri Sabah.”

Awang Aslee selaku kepimpinan UMNO tempatan juga meneruskan khidmat bakti dengan menyantuni masyarakat setempat di PDM Kampung Tanjung Aru, PDM Melikai dan PDM Menumbok baru-baru ini.

“Apabila selesai program merasmikan sambutan Hari Guru dan Hari Kaamatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Mansud, saya bersama beberapa orang ahli jawatankuasa bahagian terus melawat rumah-rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang sedang dalam pembaikan.”

Justeru beliau juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada Ahmad Zahid selaku menteri Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang telah meluluskan peruntukan bagi pembaikan kediaman terbabit.

“Usaha ini dilaksana setelah mendapat kelulusan dari KKDW yang diperoleh tahun lepas lagi.

“Ribuan terima kasih saya ucapkan kepada YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid atas keprihatinan beliau meluluskan peruntukan untuk membaik pulih rumah-rumah yang usang ini,” katanya.

Jelas Awang Aslee, UMNO kekal konsisten dalam membantu rakyat tidak mengira bangsa mahupun agama di negara ini.

“Saya melalui Jawatankuasa Biro Kebajikan UMNO terus menyantuni rakyat untuk diberikan sumbangan prihatin. Bukan sahaja bantuan dalam bentuk membaik pulih kediaman tetapi juga meliputi pelbagai perkara.

“Ada keluarga yang akan melangsungkan majlis perkahwinan dan ada juga yang kehilangan ahli keluarga. Kita sentiasa bersama-sama mereka dan kerana inilah sumbangan prihatin UMNO sentiasa digerakkan. Kebersamaan UMNO adalah sentiasa untuk rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.