Pelaksanaan JKDM: Jangan Tunggang Isu, Rakyat Sabah Perlukan Kemajuan

KUALA LUMPUR, 6 Jun – Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ranau, Suhendro Hardiansyah Sairun mengingatkan pihak lawan untuk tidak menunggang isu pelaksanaan Jawatankuasa Kemajuan Desa Madani (JKDM) kerana rakyat Sabah memerlukan kemajuan.

Menerusi hantaran video yang dimuatnaik menerusi laman TikTok beliau berkata, JKDM ini diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk menoktahkan kemiskinan yang melanda ‘negeri di bawah bayu’ tersebut.

“Apabila Kerajaan Persekutuan mengumumkan pelaksanaan JKDM di peringkat Negeri Sabah, banyak pemimpin mengeluarkan kenyataan mereka dengan menunggang isu ini sebagai modal politik untuk parti yang mereka wakili.

“Kerajaan Persekutuan memperkenalkan JKDM ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk menjalankan tanggungjawab mereka ke atas Negeri Sabah ini kerana lapan daerah termiskin datangnya dari negeri kita sendiri.

“Lantas dengan inisiatif daripada Kerajaan Persekutuan, JKDM diperkenalkan untuk menoktahkan masalah kemiskinan di setiap daerah di Negeri Sabah ini. Kita kena faham mengenai aspirasi tertubuhnya JKDM ini dan hasrat Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Menurutnya, pelaksanaan JKDM ini bukanlah satu strategi politik dan ia diwujudkan bagi memangkin ekonomi di desa.

“Mengulas mengenai kenyataan sesetengah pemimpin di Negeri Sabah ini yang mengatakan bahawa pelaksanaan JKDM ini adalah strategi politik, ia merupakan satu kenyataan provokatif dan juga satu sentimen yang ditunggang untuk kepentingan politik.

“Hal ini adalah fitnah. Sebenarnya JKDM ini diwujudkan adalah untuk memangkin ekonomi di desa. Jangan disebabkan sentimen politik yang anda cipta ini menyebabkan rakyat Sabah terkebelakang dan tertinggal banyak manfaat.

“Ada juga beberapa kenyataan yang tidak bertanggungjawab daripada sesetengah pemimpin. Dengan adanya pelantikan JKDM di peringkat desa ini ia boleh memecah-belahkan hubungan masyarakat di peringkat desa,” katanya.

Jelasnya, rakyat di Negeri Sabah sudah semestinya menerima dan memahami hasrat Kerajaan Persekutuan yang mahu membela nasib rakyat di negeri tersebut.

“Sebenarnya ini juga satu propaganda ataupun sentimen politik yang negatif dan ia tidak berlaku. Sebaliknya rakyat Negeri Sabah menyukai idea ini kerana mereka faham hasrat Kerajaan Persekutuan yang mahu membela nasib Negeri Sabah ini.

“Dengan inisiatif inilah Kerajaan Persekutuan dapat membantu untuk mempercepatkan kemajuan di peringkat desa. Dengan adanya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sedia ada dan JKDM… kedua-dua badan ini akan saling bekerjasama dan akan memajukan Negeri Sabah di peringkat desa.

“Saya juga ingin menasihatkan kepada pemimpin-pemimpin Negeri Sabah yang menunggang isu JKDM ini sebagai kepentingan politik mereka cukup-cukuplah. Fokuslah dengan portfolio anda. Sekarang ini bukanlah masa untuk berpolitik tetapi sekarang ini adalah masa untuk mentadbir Negeri Sabah ke peringkat yang lebih tinggi. Kita laung ‘Sabah Maju Jaya’ tetapi di sebaliknya kita menolak kemajuan dan pada masa yang sama menolak usaha-usaha Kerajaan Persekutuan dalam menoktahkan kemiskinan di Negeri Sabah ini,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menggesa mana-mana pihak yang menunggang isu ini sebagai modal politik segera menghentikannya kerana ini adalah masa untuk bekerja bagi memajukan Negeri Sabah.

“Percayalah rakyat di Negeri Sabah ini faham dengan proses demokrasi dan perlembagaan. Jangan terlalu gopoh dan menganggap JKDM ini adalah satu strategi politik. Sayang sekali jika JKDM ini ditolak mentah-mentah.

“Saya selaku Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Ranau dan juga Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian yang menyokong agar JKDM ini diteruskan menggesa para pemimpin yang menunggang isu ini sebagai tujuan politik untuk berhentilah bermain sentimen dengan isu ini.

“Rakyat Sabah memerlukan kemajuan dan ini adalah masa untuk kita bekerja. Jangan jadi wakil rakyat yang menabur janji selama dua minggu tetapi rakyat menanggung rindu selama lima tahun,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.